KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM59.35 juta untuk membiayai program-program kesejahteraan dan kebajikan asnaf tahun ini menerusi kerjasama strategik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia sebagai usaha MAIWP untuk menyebarluaskan peranannya dalam memastikan tiada asnaf yang tercicir daripada mendapat bantuan.
Beliau berkata NGO dan institusi agama seperti masjid dan surau, pusat tahfiz serta rumah perlindungan memainkan peranan penting sebagai rakan lapangan yang mampu menyantuni masyarakat secara langsung serta memahami keperluan sebenar golongan yang memerlukan.
“Pesan saya kepada semua NGO, jadilah mata dan telinga MAIWP kerana anda semua adalah pihak yang berada di lapangan, setiap masa bersama golongan yang memerlukan.
“Tanpa anda, mungkin MAIWP tidak mampu untuk mencapai semua sudut-sudut yang tersembunyi, ruang-ruang yang mungkin sukar untuk kami dekati,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama NGO dan rakan strategik MAIWP 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Fauzi Abidin.
Mohd Na'im berkata pada tahun lepas, MAIWP telah menyalurkan RM49.3 juta kepada NGO dan institusi berkaitan di bawah Kluster Pembangunan Ummah.
Beliau turut memaklumkan sehingga semalam, sebanyak RM399.2 juta dana zakat telah diagihkan MAIWP melalui pelbagai skim bantuan yang digerakkan di bawah enam kluster utama.
Ia merangkumi kluster Kebajikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan, Pendidikan dan Pembangunan Ummah, selain program dan inisiatif berterusan di kawasan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.
-- BERNAMA