WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Op Metal: SPRM Rakam Keterangan 32 Individu

28/07/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan 32 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes sindiket penyeludupan besi buruk dan e-sisa susulan serbuan di lima negeri baru-baru ini.

Menurut sumber, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa individu lain untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Beliau berkata SPRM masih menjalankan siasatan lanjut bagi elemen rasuah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM.

“SPRM sebelum ini telah memgambil keterangan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan tersebut namun tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata jumlah sitaan dan pembekuan akaun membabitkan siasatan kes itu setakat ini adalah lebih RM332 juta.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta.

Tujuh serbuan telah dilakukan di Selangor, enam di Pulau Pinang, empat di Kedah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Johor membabitkan pusat menyimpan dan memproses besi buruk, pejabat serta kediaman individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan