WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rundingan Dipengerusikan Anwar Hasilkan Gencatan Senjata, Teguhkan Peranan ASEAN Dalam Keamanan Serantau

28/07/2025 10:33 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat yang dicapai antara Thailand dan Kemboja menerusi mesyuarat khas di Putrajaya pada Isnin menyerlahkan peranan ASEAN sebagai mekanisme berkesan dalam menyelesaikan pertikaian serantau, apabila kedua-dua pihak akur terhadap seruan blok itu agar ketenteraman dikembalikan.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Tadbir Urus di Taylor’s University Dr Julia Roknifard berkata keengganan negara anggota ASEAN untuk membenarkan campur tangan luar, berikutan ancaman yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, telah mendorong Thailand dan Kemboja untuk mematuhi prinsip kepusatan ASEAN.

“Pada awalnya, mereka (Thailand dan Kemboja) tidak begitu terbuka kepada idea bahawa ASEAN boleh memainkan peranan, sebaliknya menyatakan hasrat untuk menyelesaikannya secara dua hala.

“Namun akhirnya ASEAN menjadi mekanisme yang memanggil mereka kembali kepada ketertiban, dan mereka akur.

“Fakta bahawa pemimpin Thailand dan Kemboja yakin untuk mengadakan rundingan di Malaysia dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tuan rumah merupakan petanda baik bagi ASEAN sebagai sebuah pertubuhan kerjasama,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau di Putrajaya, pada Isnin.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.

Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing. AS merupakan penganjur bersama mesyuarat itu manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.

Menurut Roknifard, Kemboja dan Thailand perlu berusaha ke arah menamatkan konflik ini secara menyeluruh, kerana situasi seperti ini membuka ruang kepada kuasa luar yang ingin mengambil kesempatan demi kepentingan mereka sendiri.

“Ini boleh membawa kesan buruk kepada seluruh rantau kerana ia berpotensi mencetuskan ketidakstabilan, krisis pelarian, pertambahan senjata dan peningkatan aktiviti jenayah serta militan.

Tiada satu pun daripada ini baik untuk ASEAN, yang kini pun sedang berdepan kesukaran menyelesaikan konflik di Myanmar dan potensi konflik di Laut China Selatan,” katanya.

Dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada Isnin, Kemboja dan Thailand mencapai persefahaman bersama termasuk pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa mulai pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum ditandakan sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pusingan terbaharu pertempuran tercetus pada 24 Julai, dengan beberapa kejadian pertempuran bersenjata dilaporkan di kawasan sempadan utara Kemboja, mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan