WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KDN Tunggu Laporan Penuh Kes Pasport Terbang

27/07/2025 02:50 PM

KULIM, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes pegawai penguat kuasa yang disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ketika bertugas di kaunter sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Biar dia (Shuhaily) uruskan dulu… Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-53 di Dataran Kulim di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan pasport terbang di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura.

Dua suspek utama ditahan Unit Pematuhan AKPS semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter, manakala dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan itu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata anggota RELA perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu serta meningkatkan aspek latihan agar fungsinya dapat diperluaskan.

Beliau berkata perlu ada anjakan kepada fungsi ataupun tugas hakiki RELA daripada tugas biasa seperti menjaga lalu lintas, membantu masa bencana atau ketika majlis keramaian.

“Anjakan ini membawa kepada kita nak bawa peranan RELA itu sehingga kepada memikul tanggungjawab dalam aspek kawalan di kawasan yang lebih sensitif seperti di sempadan negara. 

“Tentunya bukan RELA bersendirian. Maknanya, RELA ini memang tujuan dia adalah untuk menambah ataupun membantu, peranannya adalah membantu agensi penguat kuasa sedia ada. Kementerian melihat RELA juga ada ruang untuk ikut membantu,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu juga akan terus melihat keperluan jabatan berkenaan, khususnya dalam aspek kebajikan anggota RELA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan