GEORGE TOWN, 24 Julai (Bernama) -- Ketirisan dan penyelewengan dalam sektor awam bukan sahaja menjejaskan pengurusan kewangan negara malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata dana awam yang merupakan nadi pembangunan negara perlu diurus dengan penuh akauntabiliti kerana penyelewengan dan kelemahan sistem kawalan dalaman membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, pembaziran serta membebankan rakyat.
Beliau berkata antara beberapa kes utama yang memberi impak besar terhadap penyelewengan dana awam negara termasuk Op Water Sabah membabitkan projek bekalan air bernilai RM3.3 bilion serta kes bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disabitkan dengan 96 pertuduhan berkaitan pemalsuan dan pengubahan wang haram.
“Selain itu, SPRM juga berjaya menyita pelbagai aset mewah bernilai lebih RM3.5 bilion dan melucut hak hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun lepas yang membuktikan iltizam kami untuk memastikan dana awam tidak terus disalah guna.
"Kepada yang bermewah-mewah dengan wang rasuah, SPRM akan ambil semula wang ini kerana ia adalah wang rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2025 bertemakan “Integriti Kewangan: Menguatkuasakan Kepatuhan dan Pencegahan Penyelewengan dalam Perkhidmatan Awam” di Teluk Bahang, dekat sini hari ini.
Azam berkata cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang akan dibawa ke Parlimen tahun ini bertujuan memperkukuh sistem perolehan kerajaan yang lebih telus, sistematik dan berlandaskan undang-undang.
Sementara itu, beliau turut menyeru akauntan dan juruaudit sektor awam supaya berani melaporkan penyelewengan serta ketidakpatuhan tanpa rasa takut demi mempertahankan integriti perkhidmatan awam.
Beliau juga berharap agar perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower) terus diperkasakan menerusi pelaksanaan yang lebih berkesan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Selain itu, Azam juga menekankan keperluan transformasi digital dalam sistem kewangan dan perolehan kerajaan dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), blok rantai dan analitik data bagi mengesan transaksi mencurigakan serta mencegah rasuah dengan lebih cepat.
Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2025 itu dianjurkan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Bahagian Analisa Kewangan, SPRM.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UUM Prof Dr Ram Al Jaffri Saad, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah Bee, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Perakaunan UUM Dr Mohd Hadzrami Harun Rasit dan barisan pegawai kanan universiti serta peserta seminar dari seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial