SUKAN > BERITA

Malaysia Sah Ke Piala Asia Futsal 2026 Meskipun Tewas 0-4 Kepada Iran

25/09/2025 12:05 AM

KUANTAN, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia sah menempah slot ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia meskipun tewas 0-4 kepada juara 13 kali Piala Asia Futsal, Iran, dalam aksi terakhir Kumpulan G kempen kelayakan di Stadium Tertutup SUKPA, di sini hari ini.

Iran membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Mehdi Mehdikhani sebelum Hossein Derakhshani menggandakan kedudukan pada minit ke-12.

Bersambung babak kedua, kapten pasukan Hossein Tayyebi menambah gol ketiga pasukan nombor satu Asia itu pada minit ke-33 manakala Ali Khalilvand melengkapkan kemenangan bergaya dengan jaringan keempat pada minit ke-36.

Meskipun tewas, skuad kendalian Rakphol Sainetngam mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang lawan sepanjang perlawanan.

Iran muncul juara Kumpulan G, manakala Malaysia mengiringi mereka selaku naib juara kumpulan.

Skuad negara sebelum ini mencatat kemenangan 1-0 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pembukaan, sebelum menewaskan Bangladesh 7-1 pada perlawanan kedua.

Secara keseluruhan, lapan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik daripada pusingan kelayakan akan menyertai tuan rumah Indonesia pada edisi ke-18 Piala Asia Futsal yang berlangsung pada Januari tahun depan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan