SUKAN > BERITA

Abd Halim Duduki Tempat Keenam 50M Gaya Bebas Renang Para Dunia

25/09/2025 08:46 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 25 Sept (Bernama) -- Perenang para negara Abd Halim Mohammad menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki bagi kategori S8 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2025 di sini hari ini.

Pemenang lima pingat emas pada Sukan Para ASEAN 2023 itu mencatat masa 27.29 saat (s), sedikit perlahan berbanding catatan pada saringan di Pusat Akuatik OCBC pada sebelah pagi.

Atlet berusia 27 tahun itu melayakkan diri ke peringkat akhir selepas menamatkan saringan di kedudukan ketiga keseluruhan dengan catatan peribadi terbaik baharu 27.16s, sedikit pantas berbanding rekod terdahulu 27.18s.

Perenang Ukraine Eduard Horodianyn, yang sebelum ini meraih pingat perak dan gangsa pada kejohanan itu memenangi emas dengan catatan 26.18s.

Pemenang dua pingat emas di Paris 2024, Callum Simpson dari Australia meraih perak dengan catatan masa 26.21s, manakala perenang Amerika Syarikat Noah Jaffee, yang pernah memenangi emas acara 100m gaya bebas S8 pada Kejohanan Dunia di Manchester dua tahun lepas membawa pulang gangsa.

Sementara itu, perenang para negara Brenda Anellia Larry gagal mara ke peringkat akhir acara 50m gaya bebas wanita bagi kategori S4 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan pada saringan, meskipun mencatat rekod peribadi terbaik baharu 58.81s.

Hanya lapan perenang terbaik keseluruhan daripada dua saringan layak ke peringkat akhir.

Beliau juga tidak berjaya mara ke peringkat akhir acara 100m gaya bebas dan 50m kuak lentang yang berlangsung lebih awal pada kejohanan ini.

Brenda dijadualkan beraksi dalam acara 200m gaya bebas wanita pada hari terakhir kejohanan, Sabtu ini.

Kejohanan Renang Para Dunia 2025 yang berakhir pada 27 Sept ini adalah kali pertama dianjurkan di Asia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan