AM

Zakat Selangor Tegaskan Tidak Terlibat Kes Seleweng Dana

22/04/2026 03:51 PM

SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat pihak berkuasa ketika ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari berkata Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi negeri di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus, kawal selia serta semak imbang yang menyeluruh.

“Pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana zakat diurus secara teratur dan terkawal.

“Zakat Selangor mengambil maklum laporan media berhubung penahanan beberapa individu berkaitan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang kini disiasat oleh pihak berkuasa dan menegaskan bahawa kes yang dilaporkan melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Zakat Selangor atau pengurusan zakat oleh institusi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Khaidzir berkata Zakat Selangor mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat serta memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan mengikut rangka kerja tadbir urus yang ditetapkan.

Beliau berkata Zakat Selangor juga tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut memandangkan siasatan masih berjalan dan menasihati orang awam untuk merujuk kepada saluran rasmi Zakat Selangor bagi mendapat maklumat yang tepat serta menunaikan zakat melalui platform yang sah di www.zakatselangor.com.my.

“Pada masa yang sama, semua pihak diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung perkara ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan