AM

ABIM Gesa Reformasi Sistemik Pengurusan Dana Umat, Cadang Penubuhan Badan Pemantau

23/04/2026 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar reformasi sistemik dalam pengurusan dana umat disegerakan, termasuk mempercepat penubuhan badan pemantau seperti Suruhanjaya Amal atau Charity Commission Malaysia.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) beroperasi dengan tahap ketelusan serta integriti yang tinggi seterusnya mengelak sebarang ketirisan amanah.

Beliau berkata penubuhan badan pemantau itu juga wajar disokong dengan penggunaan teknologi untuk menjejak aliran dana serta pelaksanaan audit yang lebih konsisten dan menyeluruh.

“ABIM memandang serius laporan penahanan beberapa individu berkaitan dakwaan penyelewengan dana zakat berskala besar. Perkembangan ini bukan semata-mata kes jenayah individu, tetapi petanda kepada masalah yang lebih besar dalam pengurusan amanah dan tadbir urus dana masyarakat.

“Kelemahan dalam kawalan dalaman, pemantauan yang tidak menyeluruh serta ketiadaan standard yang seragam boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan. Jika perkara ini tidak diperbaiki, risiko kejadian berulang akan terus wujud,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai isu kutipan dana, Ahmad Fahmi menyarankan agar mekanisme kutipan yang merentas negeri atau di luar kawasan asal diselaraskan melalui garis panduan lebih jelas dan seragam.

Beliau berkata langkah seperti pewartaan dan pemantauan konsisten bukan bertujuan menyekat aktiviti kebajikan, sebaliknya untuk melindungi amanah masyarakat serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.

“Pengurusan dana umat termasuk dana zakat bukan sekadar soal kewangan, tetapi soal amanah serta berkait dengan kehidupan golongan memerlukan. Apabila berlaku ketirisan, kesannya bukan sahaja kepada angka, tetapi kepada kepercayaan masyarakat dan nasib mereka yang sepatutnya dibantu.

“Integriti bukan sekadar pematuhan kepada prosedur, tetapi soal nilai dan tanggungjawab. Setiap dana umat yang diamanahkan membawa hak golongan memerlukan. Justeru, budaya amanah dan akauntabiliti perlu diperkukuh dalam semua peringkat. Tanpa integriti, dana umat akan hilang arah,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendirian ABIM yang menyokong sepenuhnya siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan prinsip keadilan terpelihara.

“Semua pihak perlu diberi ruang agar siasatan dapat dijalankan secara telus dan profesional. Namun begitu, jika terbukti berlaku penyelewengan, tindakan tegas mesti diambil kerana ia melibatkan amanah umat yang tidak boleh dipermainkan.

“Sebagai organisasi masyarakat sivil, ABIM kekal komited untuk memastikan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab dalam setiap usaha kebajikan. Kepercayaan masyarakat adalah asas kepada segala kerja kemanusiaan, dan ia mesti dipelihara dengan penuh amanah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan