KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Inisiatif Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dilihat mampu memperkasakan penglibatan penggiat seni veteran dalam industri kreatif tempatan.
Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac berkata golongan berkenaan sebelum ini berdepan kekangan mendapatkan tawaran berikutan kebimbangan terhadap faktor rating dalam pasaran semasa.
“Pasaran industri sekarang banyak bergantung kepada media sosial seperti pempengaruh manakala pelakon baharu pula datang daripada kategori berbeza berbanding dahulu. Platform sedia ada mungkin lebih cenderung mengambil pelakon baharu kerana menganggap golongan veteran tidak mempunyai rating.
“Sebaliknya, kerajaan dan FINAS berpandangan golongan veteran termasuk pelakon, penerbit, pengarah dan kru, masih mempunyai nilai serta kepakaran yang boleh dimanfaatkan dalam industri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau penggambaran supertelefilem “Makcik Lesen P”, terbitan All Media Creation Sdn Bhd yang merupakan antara projek di bawah Dana STAR di sini hari ini.
Beliau berkata isu rating tidak seharusnya menjadi halangan memandangkan projek itu dibiayai oleh kerajaan.
“Kita ambil risiko ini bagi memberi peluang kepada kandungan sebegini diketengahkan, sekali gus menilai potensi penerimaan penonton terhadap karya yang menampilkan pelakon veteran, selain membuka ruang kepada pasaran baharu dalam industri kandungan tempatan,” katanya.
Dana STAR menyediakan pembiayaan sehingga RM200,000 bagi setiap projek dengan syarat sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja terdiri daripada artis dan kru berusia 55 tahun ke atas.
Menurut Hans, dana berkenaan yang bermula sebagai projek perintis dengan peruntukan RM1 juta telah ditingkatkan kepada RM2 juta, melibatkan 10 produksi bagi fasa awal yang dijadualkan ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sementara itu, pelakon veteran Datin Fadilah Mansor, 67, menyifatkan peluang terlibat dalam projek berkenaan sebagai amat bermakna kerana golongan sepertinya masih diberi ruang untuk terus berkarya.
“Memang rasa terharu sebab masih dihargai dan diingati. Dengan adanya dana ini, kami dapat peluang mencari rezeki semula, terutama bagi artis veteran yang hampir dilupakan,” katanya sambil menambah sebahagian pelakon veteran sebelum ini berdepan cabaran mendapatkan bayaran setimpal dengan pengalaman dan bakat dimiliki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial