EKONOMI

Prospek Ringgit Teguh, Dijangka Uji Semula Paras 3.88 Susulan Aliran Masuk Dana Kukuh

21/04/2026 06:19 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Prospek ringgit kekal teguh, disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh, dengan pasaran dijangka menguji semula ringgit pada paras 3.88 berbanding dolar AS, kata ahli ekonomi.

Beliau berkata keadaan ini mencerminkan kedudukan pasaran dalam jangka pendek, dan bukannya disebabkan perubahan arah aliran mata wang itu.

Menurut Pengarah dan Penganalis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan ketegangan geopolitik terbaru di Asia Barat telah menyebabkan kadar pertukaran asing yang tidak menentu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun menurutnya keadaan ini tidak mengubah asas landskap makroekonomi Malaysia yang terus menyokong mata wang tempatan.

Beliau berkata dinamik pertumbuhan Malaysia kini semakin dipacu oleh faktor domestik, dengan kesan pertumbuhan yang meluas dalam sektor penggunaan, perkhidmatan dan pelaburan sekali gus mengurangkan pendedahan terhadap kejutan permintaan luar.

“Perubahan ini, seiring dengan inflasi yang terkawal dan kadar dasar yang stabil, memastikan pulangan sebenar kekal positif serta mengekalkan perbezaan kadar yang mencukupi untuk menambat aliran modal,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Sedek berkata inflasi kekal terkawal manakala kadar dasar adalah stabil sekali gus mengekalkan pulangan sebenar yang positif dan perbezaan kadar faedah yang mencukupi untuk menyokong aliran masuk modal.

Beliau berkata jangkaan pelonggaran dasar monetari secara beransur-ansur di Amerika Syarikat (AS) akan membantu mengurangkan perbezaan kadar sekali gus memberi sokongan yang sederhana kepada ringgit dalam jangka sederhana.

Sehubungan itu, beliau berkata jangkaan untuk ringgit kembali menguji paras 3.88 berbanding dolar AS kebanyakannya dipacu oleh sentimen risiko jangka pendek dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu.

“Pasaran pertukaran asing kekal responsif terhadap perubahan sentimen risiko, khususnya dalam keadaan geopolitik yang dinamik.

“Bagaimanapun, tanpa penyusutan yang berterusan dalam mudah tunai global atau penilaian semula dalam jangkaan kadar faedah AS, kelemahan sedemikian dijangka tidak berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan struktur, termasuk asas perdagangan Malaysia yang pelbagai serta daya tahan luaran yang lebih kukuh akan terus mengurangkan risiko penurunan dan mengawal ketidaktentuan.

"Secara keseluruhan, kami berpendapat ringgit cenderung untuk kekal stabil hingga sederhana kukuh, dengan sebarang penyusutan dalam masa terdekat ini hanya bersifat taktikal dan bukannya isyarat trend aliran yang lebih menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit telah muncul sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, meningkat 2.8 peratus setakat ini pada tahun ini kepada RM3.9515 berbanding dolar AS setakat 12.50 tengah hari pada 15 April 2026.

“Aliran masuk dana asing bagi pasaran ekuiti dan bon menunjukkan bahawa pelabur asing mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada suku pertama 2026, aliran masuk asing bersih ke pasaran bon meningkat kepada RM4.6 bilion berbanding RM3.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, sebahagian besarnya didorong oleh permintaan yang tinggi bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), dengan aliran masuk RM9.5 bilion.

Pada masa sama, beliau berkata pelabur asing menjadi pembeli bersih dalam pasaran ekuiti, dengan aliran masuk berjumlah RM1.1 bilion pada suku pertama 2026 berbanding aliran keluar bersih dalam tempoh sama pada 2025.

Bagi tempoh 1 April hingga 16 April, aliran masuk bersih dana asing berjumlah RM710 juta. Secara keseluruhannya setakat ini pada tahun ini, aliran masuk bersih dana asing adalah RM1.9 bilion berbanding aliran keluar bersih RM20.6 bilion bagi keseluruhan 2025.

Beliau berkata rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia terus mengukuh apabila meningkat kepada US$126.6 bilion pada Mac 2026 daripada US$117.5 bilion pada tahun sebelumnya sekali gus memperkuat penampan luaran negara.

"Secara ringkasnya, pelabur asing bersikap optimis terhadap ekonomi Malaysia. Keadaan ini penting bagi memastikan mudah tunai dalam sistem perbankan, yang seterusnya membantu melancarkan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan