AM

JKM KELANTAN SEDIAKAN KHIDMAT SOKONGAN PSIKOLOGI KEPADA LEBIH 45,000 MANGSA BANJIR

15/01/2024 01:10 PM

KOTA BHARU, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menyediakan perkhidmatan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada 45,892 mangsa yang terkesan dengan bencana banjir di Kelantan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun lepas.

Pengarah JKM Kelantan Said Sidup berkata mangsa banjir tersebut melibatkan 7,886 mangsa banjir bagi gelombang pertama pada November manakala 38,006 mangsa semasa gelombang kedua, Disember lepas.

"JKM selaku satu daripada agensi di bawah agensi bantuan dan pemulihan dipertanggungjawab untuk menguruskan kesemua PPS yang dibuka. 

"Selain menguruskan pusat pemindahan, pakaian, makanan dan keperluan asas, JKM juga menyediakan perkhidmatan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada mangsa yang terkesan dengan bencana banjir ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya IKSP tersebut dikelolakan oleh Pegawai Psikologi dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling JKM. 

Said berkata antara perkhidmatan melalui IKSP adalah Kaunseling Krisis, Pertolongan Cemas Psikologi (PFA), Intervensi Krisis atau Jangka Pendek, Sesi Kelompok Sokongan, aktiviti Psikopendidikan (ceramah), aktiviti Psikoterapi dan Taklimat (Petugas Bencana).

"Seramai 13 pegawai dan penolong pegawai psikologi di JKM Kelantan dengan dibantu oleh sukarelawan Pasukan Sokongan Psikologi (PST) telah ditugaskan untuk menyantuni mangsa bencana di PPS dengan menawarkan perkhidmatan IKSP ini.

"Mereka menjalankan saringan keperluan intervensi  secara manual menggunakan Kit Krisis JKM yang diagihkan kepada setiap keluarga di PPS atau secara dalam talian menggunakan 'google form' dan keputusan saringan akan terus dinilai oleh pegawai psikologi," katanya.

Menurutnya saringan itu bertujuan mengenal pasti mangsa yang terkesan teruk secara psikologi akibat bencana dan akan diberikan intervensi segera jika mangsa menunjukkan keputusan simptom trauma yang teruk.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan