AM

40 MANGSA RIBUT TERIMA SUMBANGAN ZPP, TYT PULAU PINANG

22/05/2024 06:11 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM34,900 telah diperuntukkan kepada 40 mangsa ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dan Seberang Jaya, di sini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, peruntukan itu melibatkan bantuan bencana alam daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Kumpulan Wang Bantuan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang diserahkan kepada semua mangsa hari ini.

"Bantuan tunai permulaan melalui skim bantuan bencana alam daripada ZPP telah diperuntukkan sebanyak RM200 bagi setiap mangsa bencana ribut dari kawasan Permatang Pasir dan Seberang Jaya, manakala baki bantuan diagihkan antara RM600 hingga RM1,500 mengikut anggaran kerosakan.

“Selain itu, sumbangan turut disalurkan melalui Kumpulan Wang Bantuan TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kepada 40 rumah mangsa dengan nilai bantuan bermula RM200 sehingga RM5,000 selaras dengan garis panduan pengurusan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri berharap bantuan disalurkan itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa ribut di kawasan berkenaan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

Sebanyak 40 rumah mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang berlaku pada 7 malam, 28 April lepas di kawasan Permatang Pasir dan Seberang Jaya di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan