AM

UNIKL, HUAWEI MALAYSIA BERTUKAR MAKLUMAT KAWALAN PANTAU BANJIR

24/05/2024 10:46 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

SHENZHEN, 24 Mei (Bernama) -- Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi kerjasama inisiatif akademik dan penyelidikan yang tertumpu kepada teknologi bandar pintar, bandar pencegahan bencana, dan aktiviti dan program lain yang saling menguntungkan demi inovasi teknologi.

Dalam kenyataan bersama sempena kerjasama itu, memaklumkan Pusat Operasi Pintar Huawei (IOC) akan ditubuhkan di UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI), khusus untuk peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta memperkasakan UniKL dengan kapasiti untuk menyediakan kursus latihan pendek kepada pelajarnya dan orang ramai, sambil memupuk inovasi teknologi dan latihan praktikal.

Menurut kenyataan itu Huawei Malaysia dan UniKL juga akan memulakan pertukaran maklumat akademik dan penyelidikan atau bahan khusus mengenai Kawalan Pemantauan Banjir.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatannya ke ibu pejabat Huawei di sini, sempena lawatan rasminya ke China dari 22 Mei hingga 1 Jun.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huawei Malaysia Simon Sun manakala UniKL diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Madya Ir Dr Azman Senin.

Simon dalam satu kenyataan menjelaskan Huawei IOC ialah model bantuan membuat keputusan yang membuat ramalan menggunakan sejumlah besar data khusus industri.

“Ia membolehkan penggunaan tenaga kerja dan sumber yang cekap dalam situasi kritikal, seperti banjir, yang membawa kepada tadbir urus bandar yang lebih baik.

"IOC yang akan ditubuhkan di UniKL BMI akan menjadi alat pendidikan, penyelidikan dan pembangunan yang berkuasa untuk pelajar dan penyelidik tatkala kita menuju ke arah masa depan bandar pintar yang berhubung serta pintar," katanya.

Sementara itu, Azman berkata MoU itu adalah bukti komitmen universiti untuk menyediakan peluang dan sumber pembelajaran terbaik kepada pelajarnya.

"MoU ini membuka peluang baharu untuk UniKL dan kami mengharapkan kerjasama yang berjaya dengan Huawei Malaysia ini akan memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik dan komuniti kami yang lebih luas," katanya.

UniKL ialah institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Amanah Rakyat, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.    

Hubungan kerjasama UniKL dengan Huawei Malaysia bermula sejak 2012, apabila UniKL menjadi Makmal Pengajaran Universiti Huawei

Matlamat utama kerjasama terbaharu dengan Huawei Malaysia adalah bagi mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan kerjasama dalam membina kapasiti berdasarkan kesaksamaan dan faedah bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan