AM

KPKT SASAR 70 PERATUS PEMBABITAN PENDUDUK PPR DALAM KOSIS

26/05/2024 07:58 PM

KUANTAN, 26 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 70 peratus pembabitan penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dalam program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) menjelang 2025 bagi mewujudkan komuniti sejahtera, bersih dan lebih mampan.

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata setakat ini 60 peratus penduduk membabitkan 17 PPR di seluruh negara telah menyertai program berkenaan sejak dilancarkan pada 2019. 

“Secara keseluruhannya, program ini berjaya mengumpulkan kutipan sisa kitar semula sebanyak 461,685.64 kilogram (kg) bernilai RM138,502.20 manakala minyak masak terpakai (mencatatkan pengumpulan sebanyak) 47,026.30 kilogram bernilai RM117,558.19. 

“Program ini akan membantu penduduk di PPR menjana kewangan mereka melalui program kitar semula (menukar barangan kitar semula kepada tunai) dan KOSIS akan dikembangkan lagi (sebagai satu daripada cara mencapai) sasaran kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 peratus tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Program Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra 3 di sini hari ini. 

Terdahulu, Aiman Athirah ketika berucap berkata program di bawah kendalian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu bertujuan memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat sama dalam menguruskan aktiviti kitar semula.

Beliau berkata ia sejajar dengan Dasar Komuniti Negara yang memberdaya komuniti setempat untuk terlibat secara aktif dalam usaha penyenggaraan dan pengurusan harta awam, harta bersama serta membangunkan komuniti secara inklusif bagi mencapai kesejahteraan hidup dan pembangunan mampan.

“SWCorp akan menyerahkan pengurusan Pusat KOSIS kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau persatuan penduduk setempat setelah tahap kesedaran dan penglibatan komuniti dalam aspek kitar semula ini mencapai tahap yang tinggi.

“Keputusan ini adalah langkah yang bermakna dalam memberikan kuasa kepada komuniti menguruskan pusat KOSIS mengikut keperluan dan kehendak sendiri. Pusat KOSIS PPRS Pinggiran Putra ini dipilih sebagai satu daripada Pusat KOSIS yang akan diserahkan pengurusannya kepada persatuan penduduk atau JMB tahun ini,” katanya. 

Beliau berkata penyerahan pusat KOSIS yang lain kepada komuniti dan persatuan penduduk akan diselaraskan secara berperingkat mulai tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan