KOTA BHARU, 8 Okt (Bernama) -- Laut yang terbentang luas di perairan Kelantan menjadi cabaran utama penguatkuasaan, sekali gus mewujudkan keperluan mendesak terhadap radar kawalan laut dan tembok keselamatan, yang diharap dapat diberi perhatian dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata walaupun aset sedia ada seperti bot telah ditambah, kekangan dari segi perjawatan menyebabkan operasi rondaan di kawasan sempadan masih memerlukan sokongan tambahan.
“Sudah tentu kami di sempadan ini memerlukan aset tambahan seperti bot dan kenderaan peronda, namun ia juga perlu disertai dengan penambahan anggota.
“Selain itu, kami juga perlukan dron bagi membantu rondaan sementara menunggu pembinaan tembok sempadan,” katanya kepada Bernama di pejabatnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini baru-baru ini.
Mohd Yusoff berkata antara keperluan utama ketika ini ialah radar kawalan laut kerana Kelantan belum mempunyai sistem berkenaan seperti di pantai barat Semenanjung.
“Tanpa radar, sukar untuk kami mengawal pergerakan bot antara Thailand dan Malaysia kerana kawasan laut sangat luas, mencecah ratusan batu nautika.
“Penyeludupan di laut sebenarnya lebih banyak daripada di darat. Mereka menggunakan bot nelayan dan kapal kecil untuk memindahkan minyak serta barangan lain di tengah laut,” katanya.
Beliau berkata bot rondaan polis yang ada kini bersaiz kecil dan hanya mampu beroperasi di kawasan pesisir sejauh kira-kira 20 batu nautika, berbanding bot nelayan jenis C2 milik penyeludup yang boleh pergi sehingga 100 batu nautika.
“Selain itu, terdapat banyak laluan masuk melalui laut dari Genting hingga ke Pulau Tengkorak, Tumpat. Rondaan konvensional menggunakan bot sedia ada amat memenatkan dan menelan kos minyak yang tinggi.
“Sebab itu radar pengawasan sangat penting di sempadan, jika dipasang di Pulau Tengkorak, kami boleh memantau pergerakan bot laju dan mengenal pasti jenis bot serta aktiviti mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan tembok keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand, beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi daripada kerajaan, namun dimaklumkan perkara itu sedang dalam perhatian.
“Saya berharap pembinaan tembok atau pagar keselamatan serta radar pengawasan dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026 kerana ia mampu membantu membendung isu jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan,” katanya.
Pada 11 Jun lepas, Mohd Yusoff dilaporkan berkata pembinaan tembok atau pagar kekal di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand disifatkan sebagai penyelesaian paling berkesan dalam membanteras kegiatan penyeludupan di negeri berkenaan.
Beliau berkata sempadan sepanjang 45 kilometer itu terlalu terbuka, sekali gus menyukarkan kawalan secara menyeluruh.
Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada Jumaat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial