EKONOMI

Bank Digital Mahu Jadi Platform Agihan Subsidi, Bantuan Tunai Belanjawan 2026

08/10/2025 11:57 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Bank-bank digital meminta kerajaan untuk mengutamakan pengagihan subsidi bersasar dan bantuan tunai dalam Belanjawan 2026 menerusi platform digital bank berkenaan yang mampu melaksanakan sistem penyampaian secara lebih adil dan cekap.

GX Bank Bhd yang juga bank digital pertama beroperasi di Malaysia berkata ini juga sejajar dengan peranan bank terbabit sebagai rakan penting dalam pembangunan negara, meningkatkan pengagihan bantuan kerajaan secara selamat serta cekap bagi memastikan subsidi terus diterima rakyat dalam menangani tekanan kos sara hidup.

“Sehubungan itu, satu platform digital tunggal dan bersepadu perlu diwujudkan bagi menguruskan semua program subsidi serta bantuan tunai,” kata GXBank dalam kenyataan kepada Bernama.

Pada masa ini, inisiatif bantuan kerajaan seperti subsidi bersasar dan bantuan tunai disalurkan menerusi pelbagai platform, termasuk e-dompet dan MyKad.

Ketua Pegawai Eksekutif bank digital Islam Malaysia KAF Digital Bank Bhd Rafiza Ghazali pula menggesa jalinan kerjasama lebih kukuh antara bank digital, kerajaan dan kalangan pemain industri.

Menurutnya, ini berikutan bank digital tidak seharusnya beroperasi secara sendirian, malah kerjasama lebih erat akan menjadi satu elemen yang lebih penting pada masa depan.

Ryt Bank iaitu bank digital generasi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI), pula menegaskan platform pengagihan tunggal melalui bank digital yang diupayakan oleh proses kenali pelanggan secara elektronik (e-KYC), mampu mengurangkan ketirisan fiskal.

Kelebihan itu, katanya, sekali gus memastikan pengagihan bantuan secara lebih adil dan menggalakkan keterangkuman kewangan yang meluas.

Bank itu juga berharap Belanjawan 2026 akan memperkenalkan subsidi berperingkat bagi membolehkan usahawan memiliki peranti digital yang merangkumi pendaftaran akaun bank digital serta penggunaan platform digital.

“(Pemberian) subsidi itu boleh ditingkatkan menerusi inisiatif seperti mendaftar dengan sebuah bank digital, mendaftar di platform e-dagang seperti Shopee dan mencapai sasaran jualan yang kesemuanya bertujuan mempercepatkan lagi penggunaan digital dan keterangkuman kewangan dalam kalangan perniagaan kecil,” kata Ryt Bank.

 

Skim Jaminan Sokongan Kerajaan Untuk PMKS

Dalam pada itu, GXBank menyarankan agar satu skim jaminan disokong kerajaan diperkenalkan khusus bagi pinjaman mikro yang membolehkan institusi kewangan menawarkan akses modal penting untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sambil menyifatkan skim itu dapat mewujudkan kesan pengganda signifikan terhadap pertumbuhan negara, langkah itu juga katanya, dapat menawarkan alternatif lebih selamat berbanding peminjam wang tidak berlesen.

GXBank juga berharap Belanjawan 2026 turut memberi tumpuan kepada aspek teknologi dan literasi yang dijadikan sebahagian daripada infrastruktur negara bagi menaik taraf keupayaan AI dan analitik data untuk sistem skor kredit lebih inklusif selain perlindungan lebih kukuh terhadap penipuan.

“Usaha itu yang digabungkan dengan kerjasama celik kewangan awam-swasta, akan memperkasa rakyat Malaysia dengan alat dan pengetahuan untuk daya tahan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost Bank, Sheyantha Abeykoon berkata menerusi sokongan dasar, bank digital dapat membantu menangani jurang kewangan dengan menyediakan penyelesaian berasaskan data yang memenuhi keperluan sebenar merangkumi aspek pembayaran harian hingga pembiayaan perniagaan secara cekap, bertanggungjawab dan berskala besar.

“Insentif seperti geran, kerjasama awam-swasta serta pelaburan keupayaan baharu seperti analitik data dan AI dapat membantu bank digital berkembang secara bertanggungjawab.

“Pada masa sama, dapat membina ekosistem kewangan yang sedia masa depan, boleh dipercayai dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Setakat Oktober 2025, kesemua lima bank digital -- GXBank, Aeon Bank Bhd (dilancarkan pada 26 Mei 2024), Boost Bank Bhd (6 Jun 2024), Ryt Bank (25 Ogos 2025) dan KAF Digital Bank Bhd (8 Ogos 2025), telah memulakan operasi masing-masing.

Belanjawan 2026 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan