KUALA LUMPUR, 8 Okt 0 (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan supaya menyediakan insentif cukai bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan pembangunan pasaran dan rantaian bekalan intra-ASEAN menerusi Belanjawan 2026.
Presiden Kebangsaan SAMENTA Datuk William Ng berkata insentif cukai itu akan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melabur dalam kerjasama serantau, usaha sama dan jaringan eksport dalam ASEAN.
“Walaupun ASEAN merupakan pasaran terdekat untuk Malaysia, perdagangan intra-ASEAN masih berada pada sekitar 21 peratus.
“Cabaran tarif serta gangguan rantaian bekalan global telah menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengeluaran dan rantaian bekalan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata perkara itu juga penting selaras dengan hasrat negara untuk beralih daripada ‘Buatan Malaysia’ kepada ‘Jenama Malaysia’.
“Bantuan kepada sektor PKS perlu melangkaui sokongan tradisional terhadap pengeluaran tempatan, serta perlu menggalakkan inovasi, pemilikan harta intelek (IP) dan usaha mengantarabangsakan jenama Malaysia.
Ng berkata Belanjawan 2026 perlu menumpukan kepada bantuan aliran tunai dan daya saing berbanding langkah menambah hasil baharu memandangkan sebarang bentuk cukai baharu atau yang diperluas hanya akan terus melemahkan daya tahan PKS.
“Kerajaan digesa meningkatkan kapasiti dan lliputan skim jaminan kredit supaya lebih banyak PKS, termasuk perusahaan mikro dan syarikat baharu, dapat memperoleh pembiayaan tanpa keperluan cagaran yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan Kaji Selidik Prospek PKS SAMENTA yang diterbitkan baru-baru ini, walaupun 65 peratus PKS percaya ekonomi negara berada di landasan yang betul namun, sebahagian besar masih berdepan kekangan aliran tunai dan peningkatan kos operasi.
“Tujuh daripada 10 PKS mempunyai simpanan tunai kurang daripada enam bulan justeru, ini bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban pematuhan,” katanya.
Ng turut mencadangkan supaya Belanjawan 2026 memperkenalkan insentif cukai bagi penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), seperti potongan cukai atau kadar faedah istimewa bagi PKS yang mencapai penanda aras kelestarian.
“SAMENTA juga menyarankan usaha keseimbangan dilaksanakan untuk memastikan PKS di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak turut mendapat akses setara kepada infrastruktur, pembiayaan dan latihan,” katanya.
Ng berkata sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 perlu membantu PKS beralih daripada fasa kelangsungan kepada fasa daya saing; dan daripada menjadi pembekal kepada menjadi inovator serta pemain serantau.
“SAMENTA bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan dasar-dasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dapat diterjemahkan kepada kesan sebenar di peringkat pelaksanaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial