KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) menyarankan pelaksanaan inisiatif baharu yang menyepadukan perdagangan karbon sebagai sumber pendapatan stabil untuk komuniti luar bandar di negeri itu.
Presidennya Dr Napolean R Ningkos berkata kira-kira 1.7 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan liputan hutan semula jadi yang luas, turut menyediakan potensi besar untuk menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan alam sekitar serta kebajikan masyarakat.
“Sejajar dengan dasar nasional NDPE - Tiada Penebangan Hutan, Tiada Gambut dan Tiada Eksploitasi, DOPPA menggesa kerajaan untuk melaksanakan satu mekanisme bagi memberi pampasan kepada pemilik tanah yang memulihara kawasan NCR mereka.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong matlamat alam sekitar negara, malah memastikan pekebun kecil meraih pendapatan mampan tanpa perlu meluaskan penanaman sawit,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Napolean turut berkongsi keyakinan persatuan itu bahawa kejayaan pelaksanaan dasar NDPE di Sarawak adalah bergantung kepada usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat peribumi.
Sehubungan itu, dengan melaksanakan perdagangan karbon, komuniti itu tidak hanya dapat memperoleh manfaat ekonomi, tetapi turut berperanan penting dalam usaha pemuliharaan hutan.
Pada masa sama, DOPPA juga meminta kerajaan untuk mengutamakan pembangunan rangka kerja perdagangan karbon yang memberi pampasan kepada pemilik tanah yang mampu mengekalkan kawasan hutan mereka.
Pendekatan inovatif itu, katanya, mampu mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar, sekali gus menjamin masa depan yang lestari bagi komuniti luar bandar di Sarawak.
“DOPPA berharap kerajaan dapat mempertimbang cadangan-cadangan ini dalam Belanjawan 2026 dan mengharapkan perubahan positif yang memberi manfaat kepada pekebun kecil persendirian di Sarawak serta komuniti pertanian secara lebih meluas,” katanya.
Napolean berkata DOPPA juga mengenal pasti keperluan satu skim insentif penanaman semula di Sarawak berikutan kadar kejayaan pekebun kecil sawit persendirian memohon skim berkenaan yang rendah.
Beliau mendakwa pada masa ini, kurang satu peratus daripada 48,000 pekebun kecil persendirian di Sarawak mendapat bantuan itu berikutan karenah birokrasi, terutama urusan pengesahan permohonan tanah yang mengambil masa lama untuk melengkapkan semua semakan diperlukan.
Skim sedia ada, katanya, menetapkan syarat pengesahan hak milik atau status tanah yang hanya melewatkan proses kelulusan.
“Pengesahan ini diperlukan susulan syarat geran padanan antara kerajaan Persekutuan dan Agrobank berjumlah RM18,000 sehektar bagi Sarawak,” katanya.
Beliau mendakwa kekangan birokrasi itu menyebabkan banyak pekebun kecil sawit tidak mendapat akses bantuan yang menjejaskan matlamat asal program dan meminta kerajaan Persekutuan memperkenalkan prosedur lebih fleksibel.
Sehubungan itu, DOPPA mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan geran berjumlah RM9,000 sehektar sebagai insentif untuk pekebun kecil yang telah melaksanakan penanaman semula serta dapat meringankan beban kos pembangunan ditanggung oleh pekebun kecil persendirian.
Geran itu boleh disalurkan menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord) atau Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Sarawak bagi memastikan pengagihan teratur kepada pekebun kecil yang layak.
Selain itu, DOPPA juga meminta kerajaan untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan tempatan bagi memastikan dana berkaitan disalurkan kepada golongan yang amat memerlukan.
Napolean turut menyatakan kesediaan DOPPA membantu usaha itu serta memberi sokongan bagi memastikan sumber diagihkan secara cekap dan berkesan kepada kumpulan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial