EKONOMI

Niche Capital Peruntuk RM23.18 Juta Untuk Pacu Projek Emas Di KK Hill, Sokor Midland

08/10/2025 12:17 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Niche Capital Emas Holdings Bhd (NICE) merancang untuk memperuntukkan lebih kurang RM23.18 juta atau 89 peratus daripada jumlah RM26.18 juta yang dikumpulkan melalui langkah tawaran awam persendirian bagi memacu perniagaan perlombongan emasnya, terutama projek KK Hill dan Sokor Midland di Kelantan.

Ketua Pegawai Operasi NICE Tan Ken Sim berkata hasil RM23.18 juta itu akan digunakan untuk menyokong penerokaan, pengesahan sumber serta kelulusan pengawalseliaan.

"Pelaburan ini penting untuk mengurangkan risiko projek kami, menaik taraf sumber kepada standard Jawatankuasa Rizab Bijih Bersama (JORC) selain menyediakan asas bagi pengeluaran berskala besar pada masa akan datang," katanya kepada Bernama. 

Tan ketika mengulas mengenai Sokor menjelaskan syarikat itu mahu meningkatkan pemprosesan pengeluaran sebanyak 20-30 peratus dan melonjakkan kadar penemuan emas, membolehkan hasil yang lebih baik dari jasad bijih semasa serta menyumbang kepada pendapatan tambahan dalam jangka masa terdekat.

"Untuk KK Hill, kami mahu menggerakkan projek ke arah pengeluaran komersial dalam tempoh 18-24 bulan, tertakluk kepada kelulusan akhir," katanya.

KK Hill, yang diperolehi melalui usaha sama (JV) pada Jun 2025, mempunyai anggaran sumber yang mematuhi JORC yang bernilai beratus-ratus juta ringgit dan diposisikan sebagai pemacu pertumbuhan utama kepada kumpulan.

Pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 19 Sept lepas, syarikat itu memperoleh kelulusan pemegang saham untuk tawaran awam persendirian membabitkan kira-kira 296.7 juta saham baharu, ia dijangka mampu mengumpulkan hasil sehingga RM26.18 juta, berdasarkan harga terbitan indikatif. 

Kata Tan, daripada hasil RM23.18 juta yang diperuntukkan untuk memacu perniagaan perlombongannya, sebanyak RM5 juta akan disediakan untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan, jambatan, pembersihan tapak termasuk fasiliti penerokaan sementara di Sokor North, Midland dan KK Hill. 

Sejumlah RM9.93 juta lagi akan diperuntukkan untuk definisi sumber serta aktiviti penerokaan seperti penggerudian, pemaritan, ujian, pensijilan JORC dan penerokaan dalam kawasan 97.12 hektar di Sokor dan KK Hill.

"Pembayaran pengawalseliaan yang berkaitan dengan projek KK Hill merangkumi kelulusan penggunaan tanah, permit penerokaan, pajakan perlombongan, penilaian kesan alam sekitar (EIA), pematuhan kemampanan dan pampasan pemilik tanah, diunjurkan pada RM8.24 juta.

"Baki RM2 juta akan diketepikan sebagai modal kerja untuk menampung urus niaga yang belum dibayar, perbelanjaan kakitangan termasuk kos operasi umum, manakala RM1 juta ditetapkan bagi yuran yang berkaitan dengan penasihat, pengawalseliaan dan penempatan," katanya. 

Pada EGM yang sama, para pemegang saham juga meluluskan pengurangan modal RM70 juta untuk mengimbangi kerugian terkumpul, mewujudkan peluang bagi dividen masa hadapan, bersama-sama dengan cadangan terbitan bonus untuk waran percuma.

NICE telah memeterai JV dengan Spate Precious Metals pada 2021 untuk membangunkan projek Sokor, dengan operasi awal perlombongan ditumpukan kepada emas aluvium.

Aktiviti perlombongannya bermula pada 2023, dengan operasi komersil di kilang pengekstrakan Sokor North dibuka secara rasmi pada Oktober 2024. Kilang itu mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan menjelang suku ketiga tahun kewangan berakhir 2025.

Sejak memulakan aktiviti perlombongan pada Mac 2023, kilang Sokor telah menghasilkan 18.18 kilogram emas halus, menjana pendapatan sebanyak RM960,000 untuk tahun kewangan 2023 dan RM3.45 juta untuk tahun kewangan 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan NICE Chong See Teck berkata kumpulan itu telah melabur sekitar RM50 juta dalam perbelanjaan modal sepanjang tiga tahun tempoh penerokaan dan pembangunan sehingga membawa kepada pentauliahan kilang Sokor.

Beliau berkata anggaran kos untuk membina kilang pengekstrakan adalah antara RM15 juta hingga RM20 juta, tidak termasuk perbelanjaan membabitkan penggerudian, kerja tanah dan kerja-kerja persediaan.

"Kami sedang meneroka potensi perkongsian JV bagi membantu mengurangkan kos persediaan awal berbanding pembinaan kilang itu sendiri," katanya. 

Chong menambah bahawa pembinaan kilang pengekstrakan keduanya dijadualkan berlaku pada 2026, tertakluk kepada keadaan tertentu, manakala kilang ketiga di Sokor North dianggap sebagai loji pengeksrakan dalam karbon.

Di KK Hill, tapak itu mengandungi kira-kira 169,300 auns emas bernilai US$590 juta, berdasarkan harga emas sebanyak US$3,500 setiap auns troy, katanya.

Menurut Chong, tumpuan NICE kekal pada Central Gold Belt, yang meliputi Sokor North, Midland, South dan KK Hill, dengan jumlah saiz tenemen yang mencapai kira-kira 1,831 hektar, meletakkannya di kalangan syarikat perlombongan emas murni yang terbesar di Malaysia. 

Walaupun syarikat itu tetap terbuka untuk meneroka peluang di Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak, apa-apa pengembangan di luar Kelantan hanya akan diteruskan selepas membuat usaha wajar teknikal, penglibatan dengan pihak berkuasa tempatan termasuk kes komersial yang jelas.

"Tumpuan utama kami tetap ke arah mengoptimumkan operasi di dalam bank tanah kami yang sedia ada. Kami melihat Sokor sebagai enjin pendapatan semasa dan KK Hill sebagai jejak pertumbuhan seterusnya," katanya lagi.

Lonjakan harga emas, yang memuncak lebih daripada dua kali ganda dari sekitar RM250 segram pada 2021 kepada paras RM500 segram sekarang ini, menyediakan persekitaran yang baik kepada NICE untuk memacu pengeluarannya. 

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan