KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Suntikan modal baharu berjumlah RM116.7 juta daripada setiap pemegang saham pengendali rangkaian mudah alih (MNO) Digital Nasional Bhd (DNB) memberikan rangsangan mudah tunai jangka masa pendek kepada syarikat itu, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Atas permintaan DNB, setiap pemegang saham MNO, iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan YTL Power International Bhd, telah menyediakan pendahuluan tambahan pemegang saham sebanyak RM116.7 juta secara tunai dan pada masa sama mengekalkan pegangan masing-masing pada 19.44 peratus dalam DNB.
Pelaburan terkumpul setiap MNO kini berjumlah RM350 juta, termasuk pendahuluan terdahulu sebanyak RM233.2 juta.
Menerusi nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan suntikan modal itu dijangka dapat mengurangkan beban faedah DNB bagi pinjaman belum bayar daripada Kementerian Kewangan (MOF).
“Pendahuluan pemegang saham ini bertujuan menyokong operasi 5G DNB, mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, dan menampung keperluan modal kerja.
“Tiada sumbangan tunai lagi diperlukan daripada MoF, yang memegang 41.7 peratus kepentingan dalam DNB, memandangkan bahagiannya akan dianggap telah disumbangkan melalui pinjaman sedia ada sebanyak RM450 juta.
“Sehubungan itu, baki pinjaman belum bayar kepada MoF telah dikurangkan kepada RM199.8 juta,” tambahnya.
Kenanga IB memberi saranan ‘neutral’ susulan perkembangan itu kerana pendahuluan tambahan yang sederhana tersebut hanya memberi kesan kecil kepada lembaran imbangan CelcomDigi dan Maxis.
“Berasaskan andaian pembiayaan sepenuhnya melalui tunai dalaman, kesan kadar hutang adalah minimum, dengan anggaran hutang bersih berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sedikit kepada 2.27 kali bagi CelcomDigi (daripada 2.25 kali), dan 2.11 kali bagi Maxis (daripada 2.08 kali).
“Selain itu, sekiranya MNO keluar daripada DNB pada masa hadapan, pendahuluan pemegang saham terkumpul masing-masing boleh diimbangi dengan fi perjanjian akses 5G akan datang yang perlu dibayar kepada DNB.
“Ini, pada tahap tertentu, dapat mengurangkan risiko kerugian kewangan bagi pemegang saham yang keluar,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial