SUKAN

Piala FA: NSFC Belasah PDRM, Kelantan TRW Tewaskan KL City

19/08/2025 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) hampir pasti melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA selepas membelasah PDRM FC 5-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

NSFC bermula garang untuk membuka jaringan seawal minit pertama selepas dihadiahkan sepakan percuma yang disempurnakan pemain import Jovan Motika dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol lawan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pada minit kesembilan, PDRM FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Agbre Noel dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin susulan kekasaran ke atas Joseph Esso.

Skuad Jang menambah derita Sang Saka Biru selepas Motika meledak gol kedua apabila menolak kemas bola lorongan Takumi Sasaki pada minit ke-40, sebelum Esso menambah jaringan ketiga lima minit kemudian.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah terus mengasak PDRM yang tampak tertekan sebelum menambah gol menerusi pemain gantian Mio Tsuneyasu pada minit ke-76, sebelum Esso mencetak jaringan kedua peribadinya tiga minit kemudian.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus membolehkan NSFC mencatat kemenangan pertama di laman sendiri.

Sementara itu, Kelantan The Real Warriors (TRW) memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah mendahului 1-0 hasil jaringan ketua pasukan Ifedayo Omosuyi pada minit kelima, sebelum meletakkan pasukan itu selesa di depan apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-17.

Kelantan TRW melebarkan kedudukan selepas penyerang Sean Selvaraj meledak gol ketiga pada minit ke-65, sebelum KL City memperoleh gol sagu hati menerusi Syamer Kutty Abba pada minit ke-86.

Perlawanan kedua pusingan 16 terbaik dijadualkan berlangsung dari 12 sehingga 14 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan