EKONOMI

CelcomDigi Catat Untung Bersih RM439 Juta Pada Suku Kedua

18/08/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- CelcomDigi Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 sebanyak RM438.94 juta daripada RM406.02 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Prestasi lebih baik ini disokong oleh pengurusan perbelanjaan operasi dan modal yang berdisiplin serta realisasi manfaat penggabungan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Hasil meningkat kepada RM3.18 bilion pada suku dalam tinjauan berbanding RM3.11 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun, 2025, keuntungan bersih melonjak kepada RM822.71 juta berbanding RM782.48 juta pada separuh pertama 2024.

Sementara itu, hasil bagi tempoh itu juga melonjak kepada RM6.39 bilion berbanding RM6.28 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Inisiatif integrasi dan transformasi berjalan mengikut perancangan di seluruh rangkaian, teknologi maklumat dan operasi peruncitan menghasilkan sinergi yang dijangkakan serta meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecemerlangan operasi di seluruh organisasi," katanya.

Setakat akhir Jun, 2025, penggabungan rangkaian dan pemodenan CelcomDigi mencapai tahap 84 peratus, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati kualiti perkhidmatan yang dipertingkatkan pada rangkaian pintar CelcomDigi yang dinaik taraf secara signifikan.

Syarikat itu juga menutup suku berkenaan dengan penambahan 151,000 pelanggan tahun ke tahun (0.7 peratus) menjadikan jumlah pelanggan sebanyak 20.4 juta.

"Purata penggunaan data bulanan meningkat kepada 38 gigabait setiap pengguna, mencerminkan permintaan yang semakin tinggi untuk internet berkelajuan tinggi dan boleh dipercayai, yang terus disediakan syarikat melalui liputan 4G/5G terluas di Malaysia,” katanya. 

Pada masa hadapan, CelcomDigi akan terus mengukuhkan kedudukan pasarannya dengan memanfaatkan momentum yang semakin meningkat terhadap segmen pasca bayar serta rumah dan gentian optik, di samping memacu perkhidmatan tambah nilai digital kepada 20.4 juta pangkalan pelanggannya.

“CelcomDigi merancang untuk terus melabur pada separuh kedua 2025 bagi memodenkan rangkaian untuk memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.8 sen sesaham, sejajar dengan komitmen dividen mampan kepada pemegang saham.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan