EKONOMI

Rugi Bersih WCE Turun Kepada RM25.33 Juta Pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2026

18/08/2025 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerugian bersih WCE Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 30 Jun, 2025, turun kepada RM25.33 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM25.86 juta bagi tempoh yang sama setahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini syarikat itu berkata hasil melonjak kepada RM393.85 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 daripada RM75.57 juta sebelum itu, dipacu oleh lonjakan aktiviti pembinaan dan kutipan tol yang lebih tinggi berikutan pembukaan beberapa seksyen lebuh raya baru-baru ini.

"Hasil bagi pembinaan untuk suku pertama tahun kewangan 2026 naik 710 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2025, terutamanya disebabkan aktiviti pembinaan yang lebih tinggi melibatkan kawasan rehat dan rawat dan baki seksyen Lebuhraya Pantai Barat.

"Kumpulan turut mencatatkan hasil kutipan tol yang lebih tinggi bagi suku pertama tahun kewangan 2026, peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2025, terutamanya disebabkan lonjakan volum trafik selepas pembukaan seksyen tambahan," katanya.

 Sementara itu, ia berkata, anak syarikatnya, WCE Maju Sdn Bhd yang mengendalikan aktiviti pembinaan kumpulan, merekodkan peningkatan hasil pembinaan sebanyak 230 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2026 berbanding suku pertama tahun kewangan 2025, berikutan tahap aktiviti pembinaan yang lebih tinggi sepanjang tempoh berkenaan.

Mengenai prospek, WCE berkata setakat 31 Mac 2025, lapan daripada 11 seksyen sudah beroperasi, meliputi 180 kilometer (km) di Selangor dan Perak.

“Keseluruhan jajaran di Perak (120 km) kini telah siap sepenuhnya,” katanya.

 WCE berkata kerja pembinaan untuk tiga seksyen terakhir iaitu Seksyen 3 (KESAS - Lebuhraya Persekutuan Laluan 2), Seksyen 4 (Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 - New North South Klang Straits Bypass (NNKSB)) dan Seksyen 7 (Assam Jawa - Tanjong Karang) sedang dijalankan.

“Kumpulan dijangka akan menanggung kerugian pada tahun-tahun awal operasi tol berikutan penamatan pengkapitalan perbelanjaan faedah bagi seksyen yang telah siap.

“Bagaimanapun, kutipan tol yang semakin meningkat di setiap seksyen dijangka dapat menambah baik prestasi kewangan kumpulan dari segi aliran tunai dan keputusan operasi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan