KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk mengaktifkan semula kerjasama ekonomi dengan negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) melalui pelbagai usaha strategik, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kementerian berkata usaha itu termasuk pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Keutamaan D-8 (D-8 PTA) sejak 1 Okt 2023 yang membolehkan pengeksport Malaysia menikmati tarif keutamaan di pasaran negara anggota.
“Malaysia dan Indonesia berperanan menghubungkan D-8 ke ASEAN dan pasaran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) manakala Mesir dan Nigeria menjadi pintu masuk ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas Benua Afrika (ACFTA).
“Sementara itu, Iran, Pakistan dan Bangladesh bertindak sebagai pintu masuk ke Asia Selatan dan Tengah,” kata MITI dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MITI menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai usaha strategik kerajaan mengaktifkan kembali kerjasama ekonomi D-8 dalam sektor pelancongan, keterjaminan makanan, perdagangan dan tenaga boleh baharu sebagai alternatif menghadapi ketidaktentuan geopolitik semasa.
Menurut kementerian, selain itu kerajaan turut menyokong cadangan menaik taraf D-8 PTA kepada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif D-8 (D-8 CEPA) bagi memperluas liputan senarai tawaran serta skop kerjasama merangkumi perdagangan perkhidmatan, pelaburan dan fasilitasi perdagangan.
“Kerajaan juga menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju D-8 2020-2030 yang menyasarkan perdagangan intra-D-8 mencecah US$500 bilion menjelang 2030 berbanding US$157.06 bilion pada 2024,” katanya.
MITI berkata usaha lain termasuk menerajui inisiatif seperti Pusat Ekonomi dan Kewangan Kreatif D-8 (D-8 CEFC) di Kuala Lumpur serta Kad Pembayaran D-8 (D-8PC) bagi memudah cara perdagangan digital dan menggalakkan pelaburan intra-D-8 selain memanfaatkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) untuk memperkasakan perdagangan halal.
“Kita juga bekerjasama rapat dengan badan-badan berkaitan D-8 seperti Dewan Perniagaan dan Industri D-8, Rangkaian Pemindahan dan Pertukaran Teknologi D-8 serta Pusat Penyelidikan Pertanian dan Keterjaminan Makanan D-8.
“Antara kerjasama dilaksanakan termasuk dalam bidang pelancongan iaitu melalui perkongsian pakej destinasi dan kerjasama penerbangan, pemerkasaan perdagangan komoditi pertanian bernilai tinggi seperti minyak sawit, koko, beras dan produk agro serta galakan pelaburan bersama dalam tenaga solar, biojisim dan teknologi tenaga bersih,” katanya
D-8 ditubuhkan di Istanbul, Turkiye pada 15 Jun 1997 sebagai kumpulan negara Islam membangun untuk mempromosikan pembangunan ekonomi dengan keanggotaan terdiri daripada Malaysia, Mesir, Indonesia, Iran, Bangladesh, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial