AM

Nekmat Hargai Peluasan Kelayakan BUDI95 Kepada Nelayan

08/10/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyifatkan peluasan kelayakan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) amat penting bagi mengurangkan beban kos operasi, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dan musim tengkujuh yang bakal tiba.

Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT Abdul Hamid Bahari yang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan komuniti nelayan turut menerima manfaat subsidi bahan api.

“Persatuan ini juga menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atas peranan penting mereka dalam menyelaras data dan memastikan golongan nelayan yang layak tidak tercicir daripada menikmati manfaat BUDI95,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata NEKMAT komited untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap ahli persatuan nelayan mendapat akses sepenuhnya kepada manfaat subsidi itu secara adil dan berkesan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam mengumumkan peluasan kelayakan BUDI95 kepada tiga kelompok baharu melibatkan lebih 31,000 rakyat di seluruh negara.

Peluasan itu merangkumi lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan LKIM, lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan