KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Beberapa sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza berkongsi pengalaman mengerikan berdepan tentera rejim Zionis ketika ditahan minggu lepas.
Nurfarahin Romli atau dikenali sebagai Farah Lee yang menaiki kapal Grande Blu berkongsi pengalaman duka ketika ditahan dan digari semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Palestin sekali gus menyeru rakyat terus berani bersuara demi pembebasan Palestin.
Dalam ucapan penuh emosi di hadapan ribuan yang hadir pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini, Farah Lee berkata mereka membuat protes kerana tidak diberikan air minuman sepanjang hari dan enggan kembali ke sel sehingga keperluan asas itu dipenuhi.
“Kami kata kami tak akan masuk ke sel kalau askar-askar ini tak bagi kami semua air,” katanya sambil menambah protes berlanjutan hampir setengah jam dan tetap berdiri mempertahankan rakan-rakannya.
Farah Lee turut menceritakan bagaimana dia dipaksa dimasukkan ke dalam sel secara kasar oleh pihak berkuasa, namun menegaskan keberanian dan keyakinan dirinya bahawa mereka berada pada pihak yang benar.
“Saya tak takut sebab saya tahu saya benar … saya ditarik, saya ditolak dan saya dihumban ke dalam sel … tapi saya masih berani, saya masih tenung mata askar-askar Israel ini,” katanya.
Berkongsi pengalaman pahit sama, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, berkata dia dan rakan-rakannya ditahan tentera Israel sejurus kapal misi GSF yang disertainya dipintas.
Zizi yang menaiki Kapal Huga dan rakan aktivis Ardell Aryana (Kapal Mikeno) antara individu terawal yang dibawa ke Pelabuhan Ashdod selepas insiden dipintas itu.
“Saya dijemur selama satu jam setengah di bawah terik matahari bersama rakan saya … hijab kami ditarik, dilepaskan, tetapi kami tetap bertahan. Dalam hati hanya mampu sebut Ya Allah, kerana beginilah sebenarnya apa yang wanita Gaza alami,” katanya.
Zizi turut berkongsi pengalaman ketika diperiksa di kaunter imigresen Israel dan pegawai rejim Zionis menyambut mereka dengan kata-kata sinis.
“Apabila mereka kata ‘Selamat datang ke Israel, anda pernah sampai di Israel sebelum ini?’, dengan yakin saya jawab, ‘anda sepatutnya membuka dan lihat halaman pertama pasport saya yang menyatakan anda tidak diiktiraf di negara saya’.
“Mereka terus campak pasport saya dan mengheret saya ke meja seterusnya,” katanya.
Zizi menegaskan pengalaman pahit itu tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadi kekuatan untuk terus bertahan demi saudara-saudara di Palestin.
Selain itu, mereka juga menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI yang bertindak pantas dan penuh diplomasi dalam usaha membebaskan mereka daripada tahanan tentera Israel.
Aktivis kemanusiaan Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio bersama kakaknya, penyanyi Heliza Helmi melahirkan rasa terharu apabila kumpulan mereka dibebaskan lebih awal daripada tahanan rejim Israel berbanding mereka dari negara lain.
“Kami benar-benar terkejut kerana antara yang terkeluar awal dari penjara ialah kumpulan kami. Ia berlaku kerana sokongan kerajaan Malaysia yang begitu kuat,” katanya ketika berkongsi pengalaman selepas misi kemanusiaan GSF.
Pembebasan segera itu bukan sahaja menyuntik semangat kepada seluruh aktivis Malaysia yang terlibat, tetapi juga memberi keyakinan kepada keluarga serta rakyat di tanah air bahawa usaha mereka tidak pernah dibiarkan bersendirian.
Sementara itu, Nurul Hidayah Mohd Amin atau dikenali sebagai Ardell Aryana turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri serta semua pihak yang tidak putus mendoakan dan memberikan sokongan sepanjang pelayaran misi kemanusiaan berkenaan.
“Semangat yang kami bawa adalah semangat anda semua sebenarnya. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sangat bertungkus lumus untuk membebaskan kami serta kepada semua pihak yang terus menyokong perjuangan untuk kebebasan Palestin,” katanya.
Sebanyak 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan GSF ke Gaza selamat tiba di tanah air malam semalam dan disambut dalam suasana penuh emosi serta kesyukuran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial