KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pelabur warga British bersama 10 pelabur tempatan hari ini mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, mendakwa mereka kerugian RM66 juta akibat ditipu skim pelaburan.
Pengerusi Kumpulan Tindakan MaPeR Shah Abdul Malek berkata aduan itu memperincikan modus operandi skim pelaburan penipuan yang beroperasi sejak 2018 melalui beberapa syarikat berunsur “ponzi”, yang didakwa telah menipu ratusan mangsa lain dengan nilai keseluruhan melebihi RM300 juta.
“Ramai mangsa telah diperdaya melalui ejen-ejen ahli perniagaan itu yang menyamar sebagai petugas beberapa bank di negara dengan menawarkan skim pelaburan runcit yang kononnya diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti serta ‘dijamin’ oleh insurans.
“Ada juga yang tertipu kerana beberapa ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama syarikat-syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri 10 individu itu.
Shah berkata MaPeR memperjuangkan nasib mangsa penipuan ahli perniagaan itu sejak 2023, selepas individu dan syarikat korporat termasuk agensi kerajaan menjadi mangsa kepada rangkaian penipuan bernilai hampir RM1 bilion.
“Pihak terkesan turut merancang mendedahkan lebih banyak kegiatan penipuan melibatkan ahli perniagaan itu dan sindiketnya, di samping menggesa mangsa-mangsa lain tampil membantu membongkar sebarang kegiatan tidak bermoral yang dilakukan” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana hasil siasatan, ahli perniagaan itu pernah ditahan reman pada Julai lepas dan aset berkaitannya bernilai RM620 juta telah disita, namun menyuarakan kebimbangan kerana beberapa syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan itu kini dalam proses penggulungan (winding-up).
Sementara itu, pelabur warga British Lee Rodger Meiklejohn berkata dia menjadi mangsa selepas melabur sebanyak £10 juta (RM60 juta) melalui seorang broker di Edinburgh, Scotland, antara Oktober 2010 dan April 2011 yang memperkenalkannya kepada ahli perniagaan berkenaan.
Satu laporan polis telah dibuat olehnya pada 6 Nov 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial