PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Kelayakan bagi kuota tambahan di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pemandu e-hailing dan p-hailing akan ditentukan berdasarkan tahap penggunaan bahan api masing-masing, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bercakap kepada media selepas Majlis Peluncuran Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 di sini hari ini, beliau berkata maklumat lanjut berkenaan perkara itu akan diumumkan pada 15 Okt ini.
“Kita telah beri jaminan bahawa apabila kita sampai ke pertengahan bulan ini, 15 Okt, (pemandu) e-hailing dan p-hailing akan mendapat kelayakan di bawah BUDI95 yang akan ditetapkan.
“Kalau mereka ialah pemandu sepenuh masa yang menggunakan minyak lebih banyak, kelayakannya akan dinaikkan,” katanya.
Amir Hamzah yang juga bertanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata kerajaan telah menerima sebahagian data daripada syarikat e-hailing menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan maklumat tersebut sedang diteliti bagi memastikan proses penyaluran subsidi dapat dilaksanakan dengan tepat.
“Saya belum melihat laporan penuh yang telah diserahkan oleh APAD kepada MOF (Kementerian Kewangan), tetapi boleh kiralah daripada data APAD menyatakan seorang membawa 5,000 kilometer dan anda boleh kira berapa banyak kelayakan lebih dia (pemandu) perlu.
“Yang penting ada bukti dia betul-betul menggunakan apa yang sepatutnya dia guna, tak nak bagi kelayakan lebih (tetapi) dia tak pakai tapi benda lain yang berlaku,” katanya.
Menerusi subsidi bersasar BUDI95, lebih 16 juta rakyat menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
Terdahulu, MOF dalam kenyataan pada 1 Okt lepas memaklumkan bahawa pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu, sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi permohonan secara berkelompok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial