AM

Pemenang FFM34 Akan Terima Sokongan Dana Kandungan Kreatif Berjumlah RM1 Juta - Teo Nie Ching

07/10/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pemenang Kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34, akan menerima sokongan melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan terhadap penggiat filem tempatan.

“Kita bangga dengan kutipan (filem) box office yang dicapai tahun ini, kerana ia menjadi petanda positif terhadap perkembangan industri filem negara, sekali gus menunjukkan sektor perfileman di Malaysia berkembang dengan baik.

“Saya berpandangan adalah wajar untuk kita menaikkan jumlah hadiah yang ditawarkan, kerana dengan dana itu pemenang berpotensi menghasilkan filem yang benar-benar berkualiti dan memberi impak besar kepada industri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian FFM34 dan Pengumuman 5 Terbaik, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Teo berkata tahun ini merupakan detik penting bagi industri filem dan kandungan negara, apabila kementerian akan membentangkan pindaan terhadap Akta Finas 1981, serta memperbaharui Dasar Perfileman Negara, sejajar dengan kemajuan teknologi dan perubahan landskap ekosistem kreatif masa kini.

Sehubungan itu, beliau meminta Finas memastikan semua dasar serta polisi pembangunan industri filem diteliti dan dimasukkan dalam perancangan jangka pendek dan jangka panjang, bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab perfileman serantau yang berjaya.

Mengenai FFM34 yang bertemakan “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, Teo berkata ia menerima sambutan menggalakkan dengan menerima pencalonan sebanyak 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari, sepanjang tempoh permohonan dari 8 hingga 25 Julai.

Bagi menghargai jasa tokoh seni yang telah mencorakkan perjalanan sinema tanah air, beliau berkata Finas turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara, bagi mengiktiraf empat penggiat seni tanah air iaitu seniwati Datin Rusnani Jamil, Ruminah Sidek, Datuk Rahim Razali dan Othman Hafsham.

Malam Anugerah FFM34 akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada 1 Nov dan dihoskan oleh pelakon Datuk Afdlin Shauki bersama Che Puan Sarimah Ibrahim.

Acara itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM serta YouTube Finas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan