SIMUNJAN, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Sarawak giat melaksanakan pelbagai transformasi ekonomi yang memberi kesan positif kepada semua rakyat di bandar dan luar bandar, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata sebagai contoh pembinaan Jalan Pesisir menghubungkan Tanjung Datu hingga ke Lawas mampu meningkatkan pendapatan rakyat, selain memperkukuh asas pembangunan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, sosial dan infrastruktur.
“Kawasan Gedong dan Simunjan kini turut menikmati manfaat pembangunan kerana kedua-duanya mempunyai hubungan rapat dari segi sejarah dan pentadbiran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pesta Simunjan di sini hari ini.
Abang Johari berkata pembinaan jalan dari Serian hingga ke Simunjan melalui Gedong dan Samarahan turut akan dilaksanakan, melibatkan jalan empat lorong yang bersambung hingga ke Tanjung Embang, lokasi pembinaan lapangan terbang baharu Sarawak.
“Kita juga akan membangunkan pelabuhan gas sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan ekonomi baharu Sarawak. Semua ini akan membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau menambah kerajaan Sarawak juga akan membina benteng tebing sungai di Simunjan, yang bukan sahaja untuk mencegah hakisan tetapi menyerupai tebingan sungai bandar Kuching dengan peruntukan lebih RM100 juta telah diluluskan, yang kini dalam peringkat reka bentuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial