KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Defisit fiskal kumulatif Malaysia mengecil 10.6 peratus tahun ke tahun kepada RM49.4 bilion setakat Ogos 2025, sekali gus memastikan kerajaan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran setahun penuh RM80 bilion atau 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
CIMB Investment Bank Bhd dalam laporan Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran hari ini berkata negara mencatatkan defisit bulanan yang lebih kecil berjumlah RM2.7 bilion pada Ogos -- terendah dalam tempoh 11 bulan -- didorong oleh penurunan hasil sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun dan peningkatan perbelanjaan sebanyak 0.8 peratus tahun ke tahun.
“Hasil meningkat kepada purata RM30 bilion bagi tempoh Julai-Ogos, melonjak daripada RM25 bilion pada separuh pertama 2025 berikutan peluasan pelaksanaan e-invois dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.
Laporan itu menambah sentimen pasaran secara keseluruhan kekal berhati-hati di tengah-tengah jangkaan penawaran bon korporat bernilai antara RM10 bilion hingga RM15 bilion pada bulan ini dan pembukaan semula lelongan 07/55 Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 30 tahun yang dijadualkan pada Isnin (6 Okt).
Ini akan menandakan terbitan terakhir bagi tempoh 30 tahun untuk tahun ini, merangkumi tender awam bernilai RM3 bilion dan penempatan persendirian berjumlah RM2 bilion.
Mengenai Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Okt, CIMB berkata kerajaan dijangka mengimbangi langkah bersifat akomodatif dengan pengukuhan fiskal yang berterusan, serta unjuran defisit yang lebih kecil sebanyak 3.6 peratus daripada KDNK.
Ia berkata ruang fiskal disokong oleh pertumbuhan hasil melalui asas cukai yang lebih luas dan penggunaan semula subsidi tenaga kepada pemindahan tunai bagi menyokong perbelanjaan isi rumah, manakala perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat pada tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial