Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Golongan belia dari 33 negara termasuk Malaysia berpeluang memperoleh pelbagai manfaat mengenai persediaan mendepani cabaran masa hadapan menerusi Sidang Kemuncak Pembangunan Belia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong pada Sabtu lepas.
Acara sehari itu dihadiri lebih 3,000 perwakilan dan turut menampilkan pembuat dasar, atlet Olimpik, inovator dan usahawan, termasuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang berkongsi pandangan mengenai kepimpinan, inovasi serta peranan belia dalam membentuk masa hadapan.
Sidang kemuncak anjuran Biro Hal Ehwal Dalam Negeri dan Belia (HYAB) untuk golongan berumur antara 14 hingga 39 tahun itu turut diselitkan dengan acara lawatan pada Jumaat dan Ahad, membabitkan kira-kira 400 peserta luar negara dan dari tanah besar China.
Lawatan itu bertujuan memperdalam pemahaman mengenai perkembangan terkini Hong Kong dalam bidang teknologi, kewangan, kebudayaan dan kesenian, selain menggalakkan pertukaran silang budaya dalam kalangan golongan muda.
Peserta berpeluang melawat Hong Kong Science and Technology Parks, hab inovasi seluas empat juta kaki persegi yang menempatkan lebih 2,500 perusahaan teknologi dari 26 negara dengan lebih 25,000 tenaga kerja, termasuk 15,000 profesional penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, peserta berpeluang meneroka teknologi terkini, syarikat pemula termasuk syarikat bertaraf ‘unicorn’ serta penemuan baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Mereka turut melawat Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong (HKMA) dan diberi taklimat mengenai dasar kewangan Hong Kong, sejarah perbankan bandar itu sejak 1842, serta kaedah pengoperasian tiga bank pengeluar wang (HSBC, Bank of China dan Standard Chartered) di bawah seliaan HKMA.
Presiden Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Aluyis Lim Soon Pin menyifatkan sidang kemuncak berkenaan sebagai satu pengalaman yang sungguh bermanfaat dan ini penyertaannya kali kedua dalam acara berprestij itu.
Beliau berkata perbincangan yang menyentuh mengenai AI dan teknologi baharu muncul, membuka peluang untuk memahami dengan lebih mendalam kesannya terhadap pendidikan dan pembangunan belia.
“Sidang kemuncak itu bukan sahaja memberikan ilmu dan inspirasi, malah menjadi platform untuk membina rangkaian dan persahabatan dengan belia dari pelbagai negara.
"Dengan membandingkan dasar dan struktur, kita dapat membawa pulang amalan terbaik dan menyesuaikannya dalam program belia di Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sesi penutup bertajuk ‘Unleash Potential and Positivity’ dikendalikan oleh Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Belia Clarence Leung dan menampilkan barisan penceramah ternama.
Mereka terdiri bekas kapten pasukan bola tampar wanita China Profesor Hui Ruoqi, bekas pelumba Formula Satu (F1) Tung Ho Pin, dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014 yang juga Ketua Olympic Studies Centre di Institut Teknologi Harbin, Zhang Hong.
Panel berkenaan menekankan mengenai kepentingan pemikiran positif dan sikap proaktif dalam membantu golongan belia merealisasikan potensi diri sepenuhnya, manakala Zhang menegaskan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi amat mustahak bagi atlet untuk melakar kejuaraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial