KUALA NERANG, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran memudahkan proses bagi membolehkan golongan muda, khususnya di luar bandar untuk memperoleh lesen memandu agar mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang menawarkan harga petrol pada kadar RM1.99 seliter.
Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata ramai anak muda di kawasan luar bandar belum memiliki lesen memandu disebabkan kekangan tertentu, walaupun mereka sudah mempunyai kemahiran asas menunggang motosikal.
“Kita tidak boleh nafikan bahawa ramai anak muda di luar bandar menunggang motosikal tanpa lesen. Akibatnya, mereka tidak layak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, sedangkan BUDI95 diwujudkan untuk membantu rakyat.
“Jadi, saya nak cadang kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar laksana pendekatan lebih mudah dengan menyediakan program bagi proses pengambilan lesen oleh golongan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata program tertentu boleh dilaksanakan JPJ di kawasan luar bandar bagi memudahkan golongan muda melengkapkan proses ujian dan latihan untuk mendapatkan lesen memandu.
“Kita boleh adakan program khas bersama JPJ, kumpulkan anak muda yang belum ada lesen, berikan mereka ikuti kursus amali, petang terus jalani ujian,” katanya.
Beliau berkata langkah terbabit bukan sahaja dapat memastikan lebih ramai belia memiliki lesen memandu yang sah, malah membolehkan mereka menikmati manfaat inisiatif subsidi petrol bersasar serta tidak melanggar undang-undang jalan raya.
Dalam pada itu, Zuraidi turut mencadangkan supaya kerajaan dapat menyalurkan peruntukan kepada semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara untuk membantu menjalankan aktiviti bersesuaian bagi pelajar sekolah.
Katanya, ketika ini banyak PIBG hanya bergantung pada sumbangan daripada individu atau pihak tertentu untuk menganjurkan program dan aktiviti yang kadangkala sukar diperoleh.
“Tetapi, kita kena tetapkan syarat, penyaluran peruntukan kepada PIBG perlu dilaksanakan secara berstruktur, maknanya PIBG perlu menyediakan kertas kerja program tahunan bagi memastikan PIBG mempunyai perancangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial