AM

Laporan Audit Keselamatan Lebih 700 Sekolah Siap Dalam Dua Bulan - Fadhlina

05/10/2025 12:46 PM

BUKIT MERTAJAM, 5 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah selesai melaksanakan audit keselamatan di lebih 700 sekolah di seluruh negara setakat ini, dan laporan audit berkenaan dijangka siap dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pengauditan itu penting selaras dengan komitmen KPM dalam memastikan sekolah terus mendapat perhatian dalam konteks kesejahteraan pelajar secara menyeluruh, khususnya dalam aspek keselamatan.

“Jadi, audit ini pastinya akan memberi kita beberapa pendekatan dan tumpuan penuh perkara yang perlu kita baiki dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan dengan kesejahteraan dan keselamatan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, Penanti di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KPM telah mengemukakan beberapa cadangan berkaitan dalam pembentangan Belanjawan 2026 di bawah Kerangka Safe School.

“Dalam kerangka ini, kita minta untuk dipertimbangkan antara lain ialah penambahan waran guru kaunseling secara besar-besaran dan melihat juga program sokongan kesihatan mental di sekolah, mudah-mudahan kerangka Safe School kita ini mendapat perhatian dalam belanjawan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KPM mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dan asrama.

Mengulas mengenai insiden seorang murid lelaki tahun empat meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah di Seremban, Negeri Sembilan, Fadhlina berkata KPM masih menunggu hasil siasatan polis.

“Siasatan masih lagi dijalankan dan kita telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan tersebut,” katanya.

Rabu lepas, seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.19 tengah hari, ketika mangsa berusia 10 tahun itu sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh tekanan pada leher, namun tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan