Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pengendali kapal sokongan luar pesisir (OSV), Perdana Petroleum Bhd menggesa kerajaan memperkenalkan insentif fiskal bersasar dalam Belanjawan 2026 untuk mengekalkan sektor perkhidmatan sokongan marin Malaysia dalam kos operasi yang meningkat dan peralihan industri ke arah penyahkarbonan.
“Kami memerlukan rangka kerja dasar yang menggalakkan penyedia perkhidmatan marin memperbaharui kumpulan OSV mereka berikutan purata usia kapal kini adalah kira-kira 14 tahun.
“Langkah memperbaharui kapal adalah penting untuk kemampanan jangka panjang sektor ini,” kata Pengarah Urusannya, Jamalludin Obeng kepada Bernama.
Beliau mencadangkan langkah-langkah cukai seperti elaun modal dipercepatkan atau pelepasan bersasar berikutan kos tinggi kapal baharu sering tidak sejajar dengan kadar sewa yang tidak menentu.
Katanya syarikat turut menyokong pengenalan pembiayaan kapal hijau dan inisiatif lain untuk menggalakkan pelaburan dalam aset hibrid atau pelepasan karbon rendah sejajar dengan sasaran sifar bersih 2050 Malaysia.
“Kos untuk menggunakan aset hijau atau hibrid terus menjadi penghalang. Insentif akan dapat membantu syarikat bergerak ke hadapan dan mempercepat penyahkarbonan industri,” katanya.
Beliau berkata skim pembiayaan yang disokong kerajaan dan dibiayai bersama dengan bank-bank komersial dapat membantu mengurangkan kekangan modal untuk pengendali luar pesisir tempatan.
Mengenai cukai, Jamalludin berkata pelaksanaan semasa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan OSV menambah ketidaktentuan kos dan menggesa rangka kerja yang lebih cekap dan telus.
“Walaupun kami memahami matlamat kerajaan untuk memperluas asas cukai, pelaksanaan SST yang lebih adil dan konsisten adalah diperlukan,” katanya.
Perdana Petroleum turut menggesa kerajaan mengekalkan komitmen perbelanjaan modal daripada Petronas dan kontraktor perkongsian pengeluaran berikutan langkah ini akan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.
“Dasar yang memperkukuh penyertaan tempatan termasuk program pembangunan vendor dan penguatkuasaan kandungan tempatan yang lebih baik akan memastikan pemain tempatan kekal kukuh dalam projek huluan jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial