AM

Pelaksanaan BUDI95 Lancar Di Negeri Sembilan, Pengusaha Stesen Minyak Bantu Mudahkan Urusan

05/10/2025 11:15 AM

SEREMBAN, 5 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Negeri Sembilan berjalan lancar dan orang ramai juga berpuas hati dengan kesiapsiagaan pengusaha stesen minyak yang banyak membantu memudahkan urusan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata setakat ini tiada aduan mengenai masalah pelaksanaan inisiatif berkenaan.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan tiada aduan system down dilaporkan, pihak pengusaha juga melaksanakan dengan baik dan semua rakyat dapat menikmati insentif BUDI95 dengan mudah di semua stesen minyak.

“Pihak kami juga sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan terhadap stesen minyak di seluruh negeri ini bagi memastikan kelancaran program berkenaan,’’ katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Sementara itu, pengurus di sebuah stesen minyak di Mambau di sini, Along Kidir, 55, berkata pihaknya menjalani latihan selama seminggu secara dalam talian bagi membolehkan mereka mahir dalam pengendalian sistem termasuk semakan dan pembayaran.

"Alhamdulillah setakat hari ini tiada sebarang masalah besar berlaku cuma sistem akan menjadi lambat untuk membuat pembayaran jika orang terlalu ramai tetapi itu pun sekejap sahaja," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun bekerja di syarikat petrol.

Dalam pada itu, pekerja swasta Adira Abdul Malek, 31, yang berulang-alik dari Seremban ke Port Dickson berkata beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk mengisi petrol atau menyemak baki liter semasa kerana ia boleh dibuat di pam sahaja selain di kaunter stesen minyak.

“Sangat mudah walaupun ia perkara baharu, saya tidak hadapi masalah. Inisiatif ini baik kerana dapat kurangkan kos petrol saya walaupun nampak sikit tapi impaknya dalam masa sebulan sangat besar, biasanya kalau tangki penuh dapat bertahan seminggu," katanya.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept lepas, bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada 28 Sept dan seterusnya pada 30 Sept  lepas 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat sama.

Rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had kelayakan hingga 300 liter sebulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan