SEREMBAN, 4 Okt (Bernama) -- Penganjuran Karnival Warga Emas Peringkat Kebangsaan selama dua hari bermula hari ini di sini bertujuan memperkasa golongan itu selain menyebarluaskan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan dan keterlibatan aktif warga emas dalam masyarakat.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata acara tahunan itu juga sebagai platform kepada mereka mendapatkan maklumat mengenai pelbagai kemudahan kerajaan termasuk saringan kesihatan percuma, bantuan kebajikan dan peluang berinteraksi dengan agensi.
"Setiap tahun memang kita adakan program seperti ini tetapi kali ini kita tampil sedikit kelainan dengan anjurkan karnival supaya lebih inklusif dan interaktif, berbanding sambutan sebelumnya yang lebih tertumpu kepada acara seperti penyampaian anugerah dan perasmian sahaja.
“Kita mahu supaya lebih ramai tahu perkara berkaitan penjagaan warga emas, menghargai mereka dan bagaimana nak menjadikan kehidupan golongan itu lebih sejahtera termasuk dari segi kebajikan, kesihatan, emosi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Karnival Warga Emas sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.
Che Murad Sayang berkata karnival bertemakan ‘Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita’ itu turut mengetengahkan pendekatan intergenerasi iaitu penglibatan warga emas bersama generasi muda bertujuan mewujudkan ruang perkongsian selain mengeratkan silaturahim.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan kehadiran hingga 4,000 orang pada karnival kali ini sekali gus membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkasa dan menghargai golongan warga emas di negara ini.
“Hari ini kita bukan sahaja meraikan warga emas tetapi menyediakan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada masyarakat termasuk Jualan Rahmah MADANI, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran agensi kerajaan termasuk JKM, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta gerai usahawan tempatan.
“Pagi tadi pun kita adakan Fun Walk sejauh 2.5 kilometer yang disertai kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada warga emas, belia dan kanak-kanak,” katanya sambil menambah Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini.
Sementara itu, Noorzunita Begum berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang dianjurkan JKM bagi menghargai golongan warga emas dan berharap acara seumpama itu sentiasa dianjurkan di negeri ini.
“Ini bagi memastikan warga emas tidak merasa kekosongan, kehidupan harian mereka terisi dengan aktiviti berfaedah dan terlibat bersama masyarakat pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Peserta, Siti Hawa Taha, 64, melahirkan keterujaan menyertai karnival tersebut yang bukan sahaja menyeronokkan malah memberi peluang untuk menimba ilmu sekali gus merapatkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat setempat
“Hari ini saya sertai Fun Walk, memang seronok sebab pertama kali saya terlibat dalam acara sebegini bersama ramai peserta lain. Suasana sangat meriah dan saya rasa sangat dihargai sebagai warga emas, harap ia diadakan lagi selepas ini supaya ramai dapat nikmati manfaatnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial