AM

Yayasan Amal Sifatkan Aktivis GSF 'Hero', Yakin Masih Ramai Mahu Sertai Misi

05/10/2025 07:16 PM

BATU PAHAT, 5 Okt (Bernama) -- Yayasan Amal Malaysia menyifatkan aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai ‘hero’ kerana sanggup menggadai nyawa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan meskipun menyedari bakal berdepan ancaman rejim Zionis.

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Johor Salleh Farmin berkata dua ahli yayasan itu antara yang terlibat, dengan seorang daripadanya Norazman Ishak yang juga Timbalan Presiden yayasan antara 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel.

Beliau berkata seorang lagi sukarelawan ialah Nurhelmi Ab Ghani, namun dia tidak ditahan selepas kapal yang dinaikinya mengalami kerosakan di laut dan diselamatkan serta ditempatkan sementara di Jordan.

“Bagi usaha ini, pihak yayasan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan, serta semua pihak yang terlibat dalam pembebasan ahli kami dan peserta GSF dari Malaysia daripada terus menjadi tahanan di Israel.

“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri (Anwar) atas kebijaksanaan beliau yang berjaya membawa pulang hero kita dengan bantuan daripada kerajaan Turkiye,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Salleh berkata walaupun aktivis GSF ditahan tentera Israel kali ini, yayasan itu tidak serik untuk terus membantu rakyat Palestin, malah bersedia menyertai lagi misi sedemikian, sekiranya dipelawa.

Beliau berkata pemilihan sebagai sukarelawan ke Gaza memerlukan keazaman serta kekuatan fizikal dan mental, namun yakin masih banyak yang berhasrat menyertai misi kemanusiaan walaupun terdedah kepada ancaman dan risiko kehilangan nyawa.

Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis sejak Khamis berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kesemua mereka dijadual berlepas pulang ke tanah air Isnin ini.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan