PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel awal hari ini, menurut Kementerian Luar.
Kumpulan itu berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.
“Kesemua rakyat Malaysia selamat dan berada dalam keadaan sihat. Mereka akan berada di Istanbul untuk pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke Malaysia pada 5 atau 6 Oktober,” menurut kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kementerian Luar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau yang tegas serta usaha tanpa mengenal penat lelah dalam memastikan pembebasan segera rakyat Malaysia yang ditahan.
Malaysia juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Turkiye atas peranan penting dan sokongan yang diberikan, serta kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN yang mempunyai Kedutaan di Tel Aviv atas bantuan berharga mereka dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
Wisma Putra juga menghargai usaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan pasukan Sumud Nusantara yang dengan semangat dan dedikasi mereka telah menyerlahkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin.
Menurut Wisma Putra, walaupun flotila itu tidak berjaya sampai ke Gaza, misi berkenaan berjaya meningkatkan lagi kesedaran antarabangsa mengenai sekatan haram oleh rejim Zionis Israel.
"Penyertaan rakyat Malaysia dalam misi ini menegaskan semula komitmen negara dalam menyokong perjuangan Palestin serta menentang kekejaman, kebuluran, bencana kemanusiaan yang tragik dan kemusnahan yang sedang berlaku di Gaza.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kerjasama bagi memastikan usaha kemanusiaan sentiasa dilindungi dan solidariti global untuk Palestin terus diperkukuh,” menurut Wisma Putra.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial