AM

Kepimpinan Anwar, Hubungan Baik Malaysia–Turkiye Bantu Bebaskan Aktivis GSF

05/10/2025 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan peringkat umur akhirnya dapat menarik nafas lega apabila kesemua 23 aktivis negara ini yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berjaya dibebaskan dan kini berada di Istanbul, Turkiye.

Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis sejak Khamis itu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia.

Hubungan erat antara Malaysia dengan Turkiye terbukti apabila kesemua delegasi Malaysia dibawa keluar dari Israel menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye, yang turut menaja penginapan mereka sebelum penerbangan pulang ke tanah air pada Isnin ini.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata kewibawaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas terbukti dalam usaha memastikan 23 rakyat Malaysia daripada delegasi GSF berjaya dibebaskan.

Beliau berkata Anwar mempamerkan kepimpinan responsif dan proaktif dengan mengutamakan keselamatan warganegara, sekali gus mencerminkan solidariti Malaysia terhadap Palestin dan menegaskan pendirian negara dalam isu keadilan serta hak asasi pada peringkat antarabangsa.

"Perdana Menteri begitu lantang menolak kerakusan Israel dan dianggap antara jurucakap utama dalam mempertahankan bumi Palestin. Pada masa sama, secara diplomatik, beliau menunjukkan kemahiran memanfaatkan saluran rasmi dan hubungan antarabangsa bagi melindungi rakyat serta menjunjung nilai kemanusiaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri dalam siaran langsung menerusi Facebook petang tadi berkata proses pembebasan itu melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk perbincangan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama-sama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.

Beliau berkata kejayaan itu juga ialah hasil rundingan beliau sendiri bersama dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.

Menurut Perdana Menteri, perancangan dan rundingan membawa pulang dan menyelamatkan mangsa tidak hanya terbatas kepada keselamatan delegasi Malaysia dan Turkiye, malah turut melibatkan aktivis dari Eropah serta negara lain.

Anwar juga menyifatkan 23 rakyat Malaysia itu sebagai wira dan wirawati negara kerana walaupun mengetahui kesukaran dan cabaran yang menanti misi GSF, mereka tetap teguh dalam usaha memecah kepungan Zionis demi membantu penduduk Gaza yang dizalimi.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); serta personaliti media sosial Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno).

Turut serta dalam misi berkenaan ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli (kapal Sirius); Razali Awang (kapal Inana); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan