JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Rokok Elektronik Bernilai RM6.7 Juta Di Tumpat

05/10/2025 12:29 AM

KOTA BHARU, 4 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas rokok elektronik atau vape bernilai kira-kira RM6.7 juta dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Telaga Bata, Tumpat semalam.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA ACP Ijid Landu Binju berkata dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu, pihaknya menemukan ratusan kotak dibalut dengan plastik kuning, mengandungi 29,960 unit katrij vape dan 37,800 unit peranti vape yang disyaki tidak mematuhi standard Malaysia.

Beliau berkata stor itu dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan transit sebelum rokok elektronik itu diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram sekitar daerah ini.

“Hasil semakan lanjut mendapati alamat tertera dalam Perakuan Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak sama dengan lokasi stor berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ijid berkata rampasan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Perintah 4(1) dan 4(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan