AM

Pemilik Kuda Berarak Di Pantai Sepat, Tanda Sokongan Terhadap GSF

04/10/2025 08:18 PM

KUANTAN, 4 Okt (Bernama) -- Meskipun terdiri daripada komuniti yang kecil, sekumpulan pemilik kuda tidak melepaskan peluang berkumpul di Pantai Sepat, di sini hari ini bagi menyampaikan mesej kemanusiaan dan sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin serta sokongan terhadap misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Himpunan yang disertai kira-kira 20 penunggang kuda lelaki dan wanita daripada pelbagai latar belakang itu menyaksikan perarakan berkuda sejauh dua kilometer sambil membawa bendera Palestin, berjaya menarik perhatian pengunjung yang sedang beriadah di pantai berkenaan.

Kehadiran kumpulan berkenaan disambut dengan laungan "Free Palestine" oleh orang ramai menunjukkan sokongan terhadap mesej kemanusiaan yang dibawa.

Jurucakap kumpulan itu Engku Kamalul Kholid Engku Kamarudin berkata himpunan terbabit merupakan sumbangan kecil komuniti pemilik kuda untuk menunjukkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin dan menyokong misi kemanusiaan GSF.

Beliau juga berharap inisiatif yang dilaksanakan itu dapat menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu Palestin.

“Meskipun komuniti (pemilik kuda) kami kecil, kami wujud untuk bersama-sama menyatakan sokongan mengenai satu perjuangan GSF yang ingin membantu keluarga seagama kita di Palestin. 

“Dalam masa yang sama, kita membantah sebarang bentuk penindasan yang berlaku terhadap tahanan GSF dan berharap mereka dibebaskan dengan segera serta tidak berlaku sebarang pelanggaran hak asasi manusia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Program itu berlangsung dalam suasana penuh semangat, mencerminkan pelbagai komuniti di Malaysia, termasuk ekuestrian, terus bangkit menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin secara damai.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Terkini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebanyak 23 rakyat Malaysia anggota delegasi GSF yang berada dalam tahanan rejim Zionis sejak Khamis, akan dibawa keluar dari Israel hari ini menggunakan sebuah pesawat khas ke Istanbul, Turkiye.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan