KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- EHH Food Industry Sdn Bhd melangkah ke fasa baharu dalam industri makanan negara dengan pelancaran logo syarikat serta memperkenalkan logo produk suhun, jenama utama Cap Kunci sebagai strategi memperkukuh kedudukan dalam industri makanan tempatan dan antarabangsa.
Menurut kenyataan EHH Food Industry hari ini, majlis perasmian bertemakan ‘Cap Kunci Bersama Keluarga MADANI @ Mydin USJ’ yang berlangsung di Mydin Subang Jaya USJ pada 29 Sept hingga esok turut melancarkan produk baharu Suhun Segar.
“Sebagai sebahagian daripada kempen jenama Cap Kunci: (Bringing Malaysians Together Through Food), majlis ini mengangkat nilai kebersamaan masyarakat Malaysia yang disatukan melalui hidangan makanan.
“EHH Food Industry percaya bahawa makanan bukan sekadar mengenyangkan tetapi juga berperanan sebagai simbolik penyatuan yang mempererat silaturahim merentasi latar belakang, budaya, dan generasi,” menurut kenyataan itu.
Wakil Pengurusan merangkap Eksekutif Komunikasi Korporat EHH Food Industry Nismawaty Nurdin berkata pelancaran itu bukan sahaja menandakan usaha berterusan syarikat menghasilkan makanan berkualiti, halal, sihat, selamat, mampu dimiliki dan dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Malah, ia turut menyerlahkan semangat kebersamaan melalui kempen jenama kami ‘(Bringing Malaysians Together Through Food)’. Sejajar juga dengan tagline (slogan) jenama kami ‘Sentiasa Segar, Sentiasa Sedap’, kami percaya makanan bukan sekadar hidangan tetapi simbolik penyatuan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.
Seiring dengan itu, syarikat turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Kotak SARA Rahmah’ (Daripada Rakyat, Untuk Rakyat) dengan kerjasama rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN).
“Sebanyak 20 kotak bernilai RM100 setiap satu telah disumbangkan kepada keluarga asnaf hasil inisiatif sukarela 20 petugas EHH Food Industry yang hadir ke Mydin USJ menggunakan kad pengenalan masing-masing untuk membeli dan menyumbangkan kotak berkenaan.
“Pemberian kotak sara Rahmah sebagai langkah kami menyokong inisiatif murni pihak Mydin dengan membantu golongan yang memerlukan memandangkan usaha ini seiring dengan pengenalan kerajaan membantu rakyat memerlukan dengan pemberian sara secara one-off,” menurut kenyataan itu.
Ahli Dewan Negeri Selangor Azmizam Zaman Huri yang merasmikan majlis itu berkata inisiatif yang dilaksanakan syarikat berkenaan selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh ekonomi halal dan produk tempatan.
“Acara sebegini membuka peluang untuk jenama Malaysia berkembang lebih jauh selain menghubungkan vendor kecil, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan platform besar seperti Mydin. (Selain itu) produk Cap Kunci menunjukkan contoh baik dengan standard tinggi dan mematuhi Akta Makanan.
“Halal bukan sekadar pensijilan tetapi satu jaminan kualiti dan integriti. Harapan supaya lebih banyak syarikat tempatan mengekalkan piawaian ini demi kesejahteraan pengguna,” katanya sambil menambah tema majlis, Cap Kunci bersama Keluarga Malaysia sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan masyarakat.
Beliau berkata pelancaran produk baharu syarikat ini juga menunjukkan jenama tempatan boleh bersaing dengan produk antarabangsa selain selari dengan pembudayaan inovasi dalam sektor makanan.
Sebanyak sepuluh rakan kongsi PKS yang setia turut menerima penghargaan khas atas sokongan mereka kepada produk Cap Kunci manakala kemuncak acara dimeriahkan dengan pertandingan memasak komuniti setempat.
Juara pertandingan memasak komuniti setempat, Syarifah Norsyuhadah Syed Mohamed Rashid, 39, tidak menyangka menu popia Vietnam goreng hasil air tangannya berjaya menambat hati juri sambil berharap lebih banyak pertandingan seumpamanya dianjurkan pada masa akan datang.
“Resipi itu diinspirasikan daripada masakan harian keluarga. Produk Cap Kunci jadi ramuan utama yang menyerlahkan rasa. Kelebihan guna produk ini kerana teksturnya lembut, senang dimasak, menyerap rasa sos dengan baik akan terus terus jadi pengguna setia Cap Kunci,” katanya.
Dalam pada itu, EHH Food Industry turut memperkenalkan produk baharu Suhun Segar 200 gram (gm) dan 500 gm di Selangor International Expo (SIE) Food & Beverage 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 Okt ini yang menumpukan kepada segmen perniagaan ke perniagaan (B2B).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial