EKONOMI

Capbay, TrackerHero Meterai MoU Perkasa Pendigitalan PKS Keselamatan

01/10/2025 07:54 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Bay Group Holdings Sdn Bhd (CapBay) dan Ultrack Technology Sdn Bhd (TrackerHero) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempercepat penggunaan digital serta pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan keselamatan.

Kerjasama pertama itu menggabungkan inovasi teknologi kewangan (fintech) dengan teknologi keselamatan bagi menyokong lebih 1,300 syarikat keselamatan berlesen.

TrackerHero, penyedia penyelesaian pengurusan tenaga kerja keselamatan menyediakan akses kepada teknologi pengurusan tenaga kerja tanpa kos pendahuluan manakala CapBay, iaitu penyedia pembiayaan rantaian bekalan dan platform pembiayaan rakan setara (P2P) tempatan, memperuntukkan RM200 juta untuk menghapuskan halangan kewangan dalam penggunaan teknologi tersebut.

Melalui MoU ini, PKS keselamatan akan mendapat akses kepada sistem rondaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan operasi masa nyata dan alat pematuhan.

Sokongan pembiayaan daripada CapBay membolehkan teknologi yang sebelum ini terbatas kerana kos pendahuluan yang tinggi kini dapat dimanfaatkan untuk menambah baik operasi serta meningkatkan daya saing mendapatkan kontrak kerajaan dan korporat berskala besar.

Majlis pertukaran MoU sempena acara “Transformasi Digital untuk Industri Keselamatan & Perkhidmatan” itu disempurnakan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Omar Mokhtar A Manap. Ia disaksikan Pengarah Digitalisasi PKS, Penerimagunaan Digital Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Mohd Redzuan Affandi Abdul Rahim.

MDEC merupakan rakan strategik dalam kolaborasi ini selaras dengan program Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Malaysia (BDI).

 “Pendigitalan amat penting dalam memperkukuh industri keselamatan negara di bawah pengawasan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memuji TrackerHero kerana menerajui transformasi ini, CapBay kerana menyediakan akses kepada pembiayaan dan MDEC kerana memacu agenda pendigitalan.

“Kerjasama seperti ini memberi kuasa kepada PKS industri keselamatan untuk beroperasi lebih cekap, mengekalkan pematuhan serta menyumbang secara bermakna kepada keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi,” kata Omar Mokhtar dalam kenyataan hari ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CapBay Ang Xing Xian berkata kerjasama dengan TrackerHero bukan sekadar pembiayaan, malah turut memperkukuh tulang belakang ekonomi negara dengan membolehkan PKS menerima pakai pendigitalan dan menawarkan perkhidmatan bernilai lebih tinggi.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TrackerHero Izzat Hanif pula berkata kolaborasi ini memberi peluang kepada PKS untuk mendigitalisasi operasi harian tanpa halangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata kerjasama ini mencerminkan semangat Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Malaysia, iaitu mempercepat penerimaan digital merentas industri.

Kolaborasi itu turut disokong Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai rakan penyelidikan strategik TrackerHero sekali gus memperkukuh ekosistem pendigitalan dalam sektor keselamatan negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan