AM

Kuih Bulan Perisa Nanas Dan Coklat, Penuhi Citarasa Orang Muda

04/10/2025 01:01 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

BUKIT MERTAJAM, 4 Okt (Bernama) -- Kuih bulan, manisan tradisional masyarakat Tionghoa yang sinonim dengan perayaan pertengahan musim luruh, telah melalui evolusi rasa daripada tradisional kepada pelbagai perisa baharu bagi disesuaikan dengan mengikut citarasa masyarakat Malaysia.

Antaranya, cubaan seorang usahawan tempatan memperkenalkan inovasi unik menerusi dua perisa moden iaitu nanas dan coklat dalam usaha menarik minat generasi muda selain mengekalkan perisa sedia ada seperti kuning telur masin, buah teratai dan kacang merah.

Nur Farrah Diba Azhar, 35, yang mengusahakan perniagaan kuih bulan dan kuih bakul sejak lebih sedekad lepas, berkata idea memperkenalkan perisa baharu itu tercetus hasil maklum balas pelanggan serta keinginan untuk memberi nafas baharu kepada kuih tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun.

Beliau berkata perisa nanas diinspirasikan daripada tart nanas yang popular ketika Tahun Baharu Cina manakala perisa coklat pula disasarkan kepada kanak-kanak dan golongan muda yang gemar citarasa manis dan kontemporari.

"Kami menggunakan coklat berkualiti tinggi untuk memberikan tekstur yang lebih menarik dan bagi kuih bulan nanas, kami olah jem nanas buatan sendiri supaya tidak terlalu manis serta mengekalkan rasa aslinya.

"Lebih menarik kuih bulan nanas ini dihasilkan dalam bentuk buah nanas bagi memberikan kelainan kepada kuih bulan dijual di kedai kami di Perda, di sini dan juga secara dalam talian menerusi media sosial," katanya ketika ditemui Bernama.

Lebih istimewa, beliau berkata semua kuih bulan dihasilkan adalah buatan tangan atau ‘homemade’ menggunakan resipi asli yang dipelajari daripada mendiang datuknya, Teh Naik Ming iaitu ayah kepada ibunya, yang meninggal dunia pada 2015.

Nur Farrah Diba yang fasih berbahasa Mandarin berkata sambutan terhadap kuih bulan perisa baharu itu amat menggalakkan dengan lebih 1,000 biji kuih bulan terjual sejak mula dipasarkan awal bulan ini.

"Saya hasilkan kuih bulan sepanjang tahun tetapi jumlahnya akan meningkat berkali ganda apabila tiba Perayaan Kuih Bulan dan Pesta Tanglung dengan lebih banyak perisa akan dikeluarkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kami jual kuih bulan dengan pelbagai inti antaranya pandan, kacang merah, buah teratai, telur kuning masin dan pelbagai lagi, namun paling banyak tempahan pada September ialah buah teratai dan kuning telur masin serta terbaharu nanas serta coklat,” kata ibu kepada seorang anak lelaki itu.

Meskipun kuih bulan makanan tradisional kaum Cina, Nur Farrah Diba berkata produknya kini turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Melayu dan India kerana statusnya yang halal.

Dengan dibantu 10 pekerja, beliau sering mendapat tempahan daripada masyarakat Cina terutama pada September untuk diberikan sebagai cenderahati kepada orang Melayu.

Bagi melangkah lebih jauh, beliau berkata syarikatnya kini dalam proses mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan mengekport kuih bulan tersebut.

"Kalau mengikut perancangan mungkin dalam bulan depan, syarikat saya dapat sijil halal dan selepas itu kami merancang melebarkan sayap menjual ke luar negara khususnya Dubai kerana saya difahamkan pasaran bagi kuih ini di sana sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata kuih bulan tersebut dijual pada harga antara RM5 dan RM12 sebiji selain ditawarkan secara kombo bagi enam biji untuk pelbagai perisa dengan harga RM24 hingga RM30.

Perayaan Kuih Bulan atau dikenali juga sebagai perayaan pertengahan musim luruh yang diraikan pada 6 Okt ini, merupakan perayaan penting bagi masyarakat Tionghoa dan disambut dengan berkumpul bersama keluarga sambil menikmati kuih bulan serta menyaksikan bulan penuh yang melambangkan kesatuan dan keharmonian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan