KUANTAN, 3 Okt (Bernama) -- Dua lelaki termasuk seorang warga Kemboja ditahan kerana dipercayai mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam serbuan di sebuah bangsal kebun getah di Kawasan Perindustrian Temerloh, Mentakab pada 26 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Temerloh Pemangku ACP Mohd Nasyim Bahron berkata dalam serbuan kira-kira 7.05 malam itu, kedua-dua suspek berusia 30 dan 28 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.
“Pemeriksaan dalam bangsal berkenaan menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, termasuk mesin pengisar (grinder),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes mencuri kabel bersama dua individu yang masih bebas dikenali “Musang” dan “Sepet” dengan kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang pada Rabu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Mohd Nasyim berkata hasil serbuan pada Jumaat lepas itu juga menemukan dadah jenis syabu seberat 5.16 gram di dalam poket seluar seorang daripada suspek dan kedua-dua lelaki itu turut disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata lelaki tempatan terbabit juga telah dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh pada 30 Sept lepas mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki warga asing itu pula ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah dan direman hingga 10 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial