ISKANDAR PUTERI, 4 Okt (Bernama) -- Pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG) menamatkan kemarau podium Malaysia selama lima tahun di Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila menamatkan saingan peringkat ketujuh di tempat kedua, hari ini.
Lebih manis, kejayaan pelumba berusia 26 tahun itu hadir di hadapan ribuan penyokong tempatan serta keluarga tercinta yang bersorak di garisan penamat, selepas menamatkan cabaran sejauh 214.9 kilometer (km) dari Melaka ke Medini.
Pada perlumbaan tersebut, anak jati Johor itu melakukan pecahan solo pada jarak 32 km terakhir, namun usahanya dipatahkan pelumba Britain Zeb Kyffin, kira-kira 10 km sebelum garisan penamat.
Bagaimanapun, Kyffin mempamerkan kayuhan lebih bertenaga pada 400 meter terakhir untuk muncul juara dengan kelebihan dua saat mengatasi Nur Aiman yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga (dapat tempat kedua) sebab mak saya datang tengok perlumbaan. Sebelum ini dia jarang dapat tengok saya berlumba.
“Saya sebenarnya memang nak menang hari ini sebab berlumba di Johor. Alhamdulillah dapat nombor dua saya tetap gembira. Terima kasih kepada orang Johor yang memberi sokongan dan juga pasukan saya TSG,” katanya.
Kejayaan Nur Aiman itu turut melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik ASEAN bagi peringkat ketujuh.
Untuk rekodm kali terakhir pelumba Malaysia menaiki podium di LTdL adalah pada edisi 2020 menerusi pelumba berpengalaman Mohd Harrif Salleh di peringkat kelima dan ketujuh.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC) turut mempamerkan layuhan cemerlang apabila menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial