PORT DICKSON, 3 Okt (Bernama) -- Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil berjaya meraih gelaran pelumba terbaik ASEAN pada saingan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 meskipun tidak berada dalam kondisi terbaik.
Pelumba kelahiran Batu Pahat Johor itu berkata beliau merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan yang membantunya sehingga berjaya meraih kedudukan terbaik bagi perlumbaan hari ini.
“Walaupun kurang sihat, saya tetap cuba yang terbaik. Sasaran saya hari ini lima terbaik dan syukur Alhamdulillah, dapat nombor empat.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dari awal hingga akhir perlumbaan,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Ini merupakan gelaran kedua buat Muhammad Izzat Hilmi sebagai pelumba terbaik ASEAN bagi saingan peringkat selepas turut melakukannya pada peringkat keempat (Kuala Terengganu-Kemaman) pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhammad Izzat Hilmi berharap momentum yang dimilikinya itu dapat diteruskan untuk baki dua peringkat perlumbaan.
“Masih ada dua peringkat lagi. Kalau perlumbaan berakhir dengan pecutan beramai-ramai, saya akan cuba ambil posisi terbaik untuk naik podium,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial