Oleh Nor Fariza Mohd Razhi
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Lima peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan delegasi negara dalam Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Israel mendapat perlindungan undang-undang secara telus dan adil.
Seorang daripada lima peguam itu, Dir Kheizwan Kamaruddin berkata mereka akan mewakili delegasi Malaysia yang ditahan dan akan berurusan dengan peguam The Legal Centre for Arab Minorities Rights in Israel (ADALAH) yang berpangkalan di Israel, serta peguam antarabangsa untuk proses perundangan.
"Ya, kami masih dalam urusan perundangan dan sekejap lagi akan ke Kedutaan Malaysia di Jordan. Kemungkinan besar delegasi Malaysia yang ditahan akan dihantar balik melalui Jordan.
"Kami bersedia dalam apa jua keadaan. Kami akan ke Mesir sekiranya deportasi dibuat melalui Mesir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain Dir Kheizwan, empat peguam lain yang terlibat ialah Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Sementara itu, Fahmi berkata kehadiran pasukan guaman dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) adalah untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan GSF terjamin, khususnya dari sudut perundangan sekiranya mereka ditahan.
"Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh berlaku, antaranya mereka mungkin dibawa ke pelabuhan di Israel untuk proses dokumentasi imigresen sebelum dihantar pulang melalui Kedutaan Malaysia di Amman atau Kaherah, Mesir.
"Selain itu, mereka juga berdepan kemungkinan ditahan hingga 72 jam mengikut undang-undang imigresen Israel, atau lebih lama sekiranya dianggap sebagai pengganas," katanya yang memaklumkan pasukan guaman itu tiba di Amman, semalam (1 Okt).
Fahmi berkata mereka akan berhubung rapat dengan kumpulan peguam hak asasi manusia yang dikenali sebagai ADALAH bagi memastikan semua proses undang-undang dipatuhi dan hak rakyat Malaysia terbela memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Dalam pada itu, CENTHRA dalam kenyataan hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan agresif dan melampau rejim Israel terhadap GSF, yang merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.
Menurut CENTHRA, sekatan laut Israel ke atas Gaza adalah haram menurut San Remo Manual (Artikel 102) kerana menjejaskan penduduk awam dan menghalang bantuan kemanusiaan.
CENTHRA memaklumkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) (Julai 2024) menegaskan pendudukan Israel tidak sah dan menyeru semua negara memastikan pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
"Misi Flotilla ini adalah misi aman dan kemanusiaan semata-mata, demi melaksanakan hak kebebasan pelayaran antarabangsa (UNCLOS, Artikel 87). Tindakan Israel menghalang dan menahan flotila adalah pelanggaran undang-undang laut antarabangsa.
"Sebagai kuasa pendudukan yang tidak sah, Israel wajib memastikan akses bekalan makanan dan ubat-ubatan sampai ke Gaza (berdasarkan Konvensyen Geneva Keempat & Protokol Tambahan I). Sebaliknya, Israel terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang, jenayah yang turut menjadi asas waran tangkap ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa) terhadap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant.
"Tindakan Israel juga membahayakan nyawa penumpang (kapal) mencabul hak untuk hidup, kebebasan, dan keselamatan," menurut kenyataan itu.
Justeru, CENTHRA menuntut Israel segera membebaskan kesemua delegasi Sumud Nusantara termasuk kesemua aktivis rakyat Malaysia dan GSF serta kesemua flotila selain menuntut Israel memberi pampasan kepada mangsa dan pemilik kapal serta menggesa organisasi dan masyarakat sivil tempatan dan antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menghentikan pencabulan Israel, termasuk genosid di Gaza.
Kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan bahawa setakat 3.30 petang ini, sebanyak 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia disahkan telah ditahan tentera Israel selepas kapal dinaiki mereka dipintas ketika memasuki zon merah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial